KUALA LUMPUR 19 Mei — Prestasi Sunway Construction Group Berhad dijangka berdepan sedikit tekanan pada suku kedua FY26 apabila beberapa projek pusat data (DC) utama siap lebih awal daripada jadual.
Menurut penganalisis, perkembangan tersebut sekali gus mengurangkan sumbangan kerja pembinaan dalam tempoh terdekat, namun mereka tetap optimis terhadap prospek jangka panjang syarikat tersebut.
Antaranya RHB Research yang menilai prestasi suku berikutnya kemungkinan sedikit perlahan susulan projek DC dikenali JHB1X0 bernilai RM4.1 bilion hampir siap sepenuhnya setakat akhir 1QFY26.
"Bagaimanapun kami menjangkakan momentum pendapatan Sunway Construction kembali naik pada hujung FY26 apabila beberapa projek DC baharu mula mempercepatkan kerja pembinaan," tambahnya.
Ujarnya dalam nota analisis, beberapa projek DC yang diperoleh kumpulan berkenaan sepanjang FY25 dijangka mula menyumbang pendapatan secara lebih besar menjelang akhir FY26 hingga FY27 kelak.
Sehubungan itu, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham syarikat pembinaan tersebut dengan menaikkan harga sasaran (TP) sesaham kepada RM8.33 daripada RM7.96 ditetapkan sebelum ini.
Firma penyelidikan berkenaan menambah, keuntungan bersih teras Sunway Construction bagi 1QFY26 naik 39% tahun ke tahun (YoY) kepada RM114.3 juta dan secara keseluruhannya menepati jangkaan pasaran.
"Selain pertumbuhan keuntungan, pengumuman dividen interim 7.6 sen dan dividen khas 15.2 sen turut menarik perhatian ramai pelabur dengan jumlah pembayaran sebanyak 22.8 sen sesaham," jelasnya lagi.
Artikel berkaitan: Sunway Construction catat untung bersih RM118 juta, raih kontrak baharu RM3.6 bilion dalam 3 bulan

Ujar RHB Research, kumpulan tersebut ketika ini memiliki tender aktif yang mencecah sebanyak RM15.3 bilion dengan kira-kira 80% terdiri daripada pelbagai projek berkaitan DC di seluruh negara.
Sementara itu, MBSB Research pula mengekalkan saranan 'beli' dengan TP lebih tinggi iaitu RM7.90 daripada RM7.68, didorong kekuatan asas Sunway Construction dan prospek sektor DC terus berkembang.
Firma itu berkata, keuntungan bersih teras melonjak 56.4% kepada RM118.4 juta pada 1QFY26 meskipun hasil segmen pembinaan susut akibat kesan asas tinggi daripada projek diperolehnya tahun lalu.
“Meskipun pendapatan pembinaan didapati lebih rendah, margin keuntungan sebenarnya masih meningkat secara ketara berikutan penyiapan pelbagai projek sedia ada dan pembalikan peruntukan,” katanya.
Setakat Mac 2026, buku pesanan Sunway Construction jelas MBSB Research, berjumlah RM8.16 bilion dengan projek DC menyumbang RM5.22 bilion atau kira-kira 64% daripada keseluruhan kontrak semasa.
Ia turut menyifatkan segmen pratuang sebagai pemacu pertumbuhan baharu selepas hasil naik 135.6% kepada RM72.1 juta disumbangkan projek di Singapura dan projek yang mula memasuki fasa aktif.
Kedua-dua firma penyelidikan itu berpandangan pembangunan DC terus menjadi pemangkin utama pertumbuhan syarikat meskipun prestasi jangka pendek mungkin sedikit sederhana. - DagangNews.com








