KUALA LUMPUR 19 Mei — Prestasi kukuh 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad terus menarik perhatian pasaran apabila keuntungan syarikat melonjak 30% pada suku pertama 2026, kata penganalisis.
Bagaimanapun di sebalik momentum positif, timbul persoalan mengenai harga sahamnya yang sudah terlalu tinggi, dengan dua firma penyelidikan mengambil pendirian berbeza terhadap prospek syarikat itu.
Antaranya CGS International (CGSI) yang masih mengekalkan saranan 'kurangkan pegangan' terhadap saham kumpulan tersebut walaupun menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM2.94 daripada RM2.55.
"Secara keseluruhan, keputusan kewangan 99 Speed Mart bagi 1QFY26 menepati jangkaan kami apabila keuntungan bersih teras meningkat 30.1% tahun ke tahun (YoY) kepada RM188.6 juta," jelasnya.
Menurut firma itu, pertumbuhan positif tersebut dipacu pembukaan 253 cawangan baharu, peningkatan 18% transaksi jualan, pertumbuhan jualan pukal lebih 115% serta tempoh waktu operasi yang lebih panjang.
Pengurusan turut memaklumkan beberapa cawangan kini beroperasi sehingga pukul 11 malam bagi memacu jualan tambahan, disokong perbelanjaan pengguna yang stabil dan campuran produk lebih baik.
CGSI namun berpandangan penilaian saham 99 Speed Mart masih tinggi apabila didagangkan 34.2 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER), lebih mahal berbanding purata rakan setara sektor pengguna.
“Walaupun prospek pertumbuhan kumpulan tersebut dalam jangka panjang adalah kekal menarik, tetapi penilaian semasa ke atas saham syarikat ini dilihat terlalu mahal kepada pelabur runcit,” katanya.
Pertumbuhan masa depan syarikat dijangka dipacu sasaran pembukaan 250 cawangan setahun, tambahan produk termasuk peralatan elektrik kecil bersama Midea serta pertumbuhan platform jualan pukal.
Selain itu ujar CGSI, konflik Timur Tengah setakat ini tidak memberi kesan material terhadap operasi 99 Speed Mart susulan pengurusan kos yang cekap dan kestabilan harga daripada pembekal.
Artikel berkaitan: Untung bersih 99 Speed Mart naik kepada RM188.6 juta bagi 1QFY26 disokong kecekapan operasi

Bagaimanapun jelas firma penyelidikan berkenaan, risiko utama kumpulan itu termasuk isu kelembapan pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) dan perbelanjaan isi rumah yang dijangka lebih perlahan.
"Asas perniagaan syarikat ini didapati kekal kukuh dan mampu menawarkan keterlihatan pendapatan yang baik meskipun pasaran pula berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi semasa," tambahnya lagi.
Sementara itu, RHB Research menaik taraf saham syarikat tersebut kepada 'beli' daripada 'neutral' dengan TP RM4.02, disokong program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang menjana 5% daripada jualan.
Skim tunai itu katanya, dijangka terus menyokong pertumbuhan pendapatan, dengan hasil 1QFY26 naik 18% kepada RM3.1 bilion dipacu penambahan cawangan dan pertumbuhan SSSG sebanyak 11.1%.
Firma penyelidikan tersebut berkata, margin keuntungan kasar 99 Speed Mart turut berkembang 1.1 mata peratusan hasil ekonomi skala yang lebih baik dan campuran produk semakin menguntungkan.
"Kami turut menyifatkan margin keuntungan bersih kumpulan yang melebihi 6% pada suku pertama sebagai antara yang tertinggi pernah direkodkan syarikat tersebut sendiri," kata RHB Research.
Dari sudut operasi, pengurusan syarikat tidak menjangkakan sebarang gangguan besar terhadap rantaian bekalan atau tekanan kos akibat konflik Timur Tengah berpanjangan dalam tempoh terdekat.
Selain itu, kenaikan tarif elektrik dan kos diesel dilihat masih terkawal menerusi langkah pengoptimuman operasi dilaksanakan 99 Speed Mart serta pelbagai inisiatif subsidi oleh kerajaan.
RHB Research berkata, pertumbuhan jangka panjang akan terus dipacu perluasan pasaran termasuk penjualan barangan elektrik, pengembangan platform jualan pukal dan operasi luar negara.
"Walaupun pengguna mula menunjukkan perbelanjaan lebih berhati-hati, kami percaya model perniagaan syarikat ini masih defensif kerana tertumpu kepada keperluan harian rakyat," katanya. - DagangNews.com








