Penerbangan Ethiopian Airlines dari Addis Ababa ke Singapura kini singgah di KL | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penerbangan Ethiopian Airlines dari Addis Ababa ke Singapura kini singgah di KL

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 4 Julai – Ethiopian Airlines, syarikat penerbangan terbesar Afrika, menambah penerbangan kelima bagi laluan terus Addis Ababa–Singapura, dengan persinggahan di Kuala Lumpur sebagai sebahagian usaha mengukuhkan peranannya sebagai penghubung Asia Tenggara dan Afrika. 

 

Langkah itu sebahagian daripada strategi perluasan laluan susulan peningkatan permintaan penumpang perniagaan dan pelancongan antara Singapura dan Afrika.

 

Pengurus Wilayah Ethiopian Airlines, Telila Deressa Gutema berkata, Singapura merupakan pasaran strategik bagi syarikat di rantau Asia-Pasifik. 

 

"Penambahan ini mengukuhkan kesalinghubungan untuk pelancong, pengendali kargo dan komuniti perniagaan. 

 

"Kami komited menyediakan pilihan perjalanan yang lancar dan mudah ke seluruh rangkaian," katanya dalam satu kenyataan.

 

Penerbangan tambahan itu menawarkan lebih fleksibiliti kepada penumpang dan akses terus ke rangkaian global Ethiopian Airlines yang merangkumi lebih 145 destinasi, termasuk 60 lokasi di seluruh Afrika.

 

Hab utama Ethiopian Airlines, Lapangan Terbang Antarabangsa Bole di Addis Ababa, merupakan antara lapangan terbang paling terhubung di Afrika dengan sambungan pantas ke bandar-bandar di Afrika Timur, Barat dan Selatan, serta destinasi di Eropah dan Amerika.

 

Selain menyokong pertumbuhan perjalanan perniagaan, laluan itu turut memberi manfaat kepada jemaah Umrah dari rantau ini yang transit di Addis Ababa serta pelancong bebas (FIT) yang tertarik dengan sejarah, budaya dan landskap unik Ethiopia.

 

Kuala Lumpur kini menjadi sebahagian daripada laluan kelima tersebut, sekali gus mengukuhkan kehadiran Ethiopian Airlines di Asia-Pasifik dan menawarkan akses lebih luas kepada pelancong Malaysia ke Afrika.- DagangNews.com