Penempatan saham YTL Hospitality REIT dijangka cairkan 2.2% pendapatan seunit bagi FY27 — Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penempatan saham YTL Hospitality REIT dijangka cairkan 2.2% pendapatan seunit bagi FY27 — Maybank IB

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 10 Mac — Cadangan penempatan saham oleh YTL Hospitality REIT dijangka menyebabkan pencairan sederhana 2.2% pendapatan per unit (EPU) dan 2.3% pengagihan per unit (DPU) bagi FY27.


Bagaimanapun menurut Maybank Investment Bank, langkah berkenaan dilihat mampu mengukuhkan kapasiti kewangan untuk pengembangan aset kumpulan amanah pelaburan hartanah itu pada masa depan.


Menurut firma penyelidikan tersebut, usaha itu bertujuan mengurangkan tahap gear dan meningkatkan fleksibiliti kewangan yang membolehkan peluang pengambilalihan baharu dalam sektor hospitaliti.


"Selepas pelaksanaan penempatan saham itu, tahap gear dijangka menurun daripada 44% kepada 42%, dan memberikan ruang tambahan untuk pelaburan yang mampu meningkatkan pulangan," tambahnya lagi.


Maybank IB menambah, perkara itu dijangka selepas tarikh pengagihan dividen pada 11 Mac 2026, dan berdasarkan perkembangan tersebut, ia mengekalkan saranan 'beli' terhadap YTL Hospitality REIT.


Firma itu turut tidak mengubah harga sasaran (TP) RM1.35, serta menyifatkan strategi pertumbuhan REIT tersebut tertumpu pengambilalihan hotel berkualiti tinggi, dan naik taraf aset sedia ada.


Ini termasuk projek pembangunan bagi meningkatkan nilai portfolio dalam jangka panjang, dengan ketika ini, ia menguruskan sejumlah 19 aset, manakala portfolio tersebar di Malaysia, Australia dan Jepun.
 

YTL REIT


"Setakat Jun 2025, kira-kira 52% daripada portfolio bernilai RM2.66 bilion terletak di Malaysia, diikuti 37% di Australia (RM1.92 bilion) dan 11% di Jepun (RM0.55 bilion)," kata Maybank IB.


Bagi FY25, YTL Hospitality REIT mencatatkan hasil RM548.3 juta, susut 1.2% tahun ke tahun (YoY), manakala pendapatan hartanah bersih (NPI) meningkat kira-kira 0.9% kepada sebanyak RM292.1 juta.


Perkembangan itu jelas firma tersebut, sumbangan penyewaan stabil dan pengurusan kos berdisiplin, namun pendapatan yang tersedia untuk pengagihan pula merosot kira-kira 16.9% kepada RM131.6 juta.


Situasi ini kata Maybank IB, kerana tiada pengiktirafan sewaan tertunda sekali sahaja berjumlah RM26.7 juta pada FY24, mengakibatkan DPU mencatat 7.75 sen, berbanding sebelumnya ialah 8.26 sen.


"Dalam tempoh dua tahun lalu, REIT ini aktif memperkukuh portfolio termasuk pengambilalihan Hotel Stripes Kuala Lumpur berharga RM138 juta, dan penjenamaan semula beberapa hotel," tambahnya.


Selain itu, projek pembangunan hotel Moxy Niseko di Jepun sedang berjalan dan akan siap menjelang suku kedua 2027, sekali gus memberi prospek pertumbuhan jangka sederhana kepada kumpulan tersebut.


Dari sudut operasi, Maybank IB berkata pemulihan kukuh sektor pelancongan khususnya di Australia terus menyokong prestasi hotel, dengan hasil mencatat paras tertinggi pasca pandemik Covid-19.


Bagaimanapun jelasnya, faktor makroekonomi global serta ketidaktentuan geopolitik berpotensi menjejaskan aliran kemasukan pelancong asing dan pendapatan operasi hotel di Australia dan Jepun.


"Pengurusan memaklumkan aliran perjalanan serta permintaan pelancong dari rantau ASEAN di Malaysia namun kukuh walaupun ketibaan pelancong Eropah dipantau susulan gangguan geopolitik," katanya.


Maybank IB menjangkakan portfolio hotel YTL Hospitality REIT di Australia terus menjadi pemacu utama prestasi kumpulan dengan sumbangan sekitar 40% daripada NPI pada FY26. - DagangNews.com