KUALA LUMPUR 12 Jun - Pendapatan tahunan FGV Holdings Bhd dianggar merosot lebih daripada 50% kesan daripada peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kata RHB Research.
Katanya, kesan terhadap kumpulan itu adalah besar memandangkan lebih 70% daripada buah tandan segar (BTS) yang diprosesnya diperoleh daripada sumber luar dan ia boleh mengakibatkan beban cukai melebihi RM430 juta setahun apabila SST 5% mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2025.
Firma penyelidikan itu berkata, peluasan cukai tersebut, yang merangkumi produk sawit huluan dan hiliran seperti BTS, minyak isirung sawit, asid lemak sawit dan hasil sampingan lain akan menekan margin keuntungan dalam seluruh industri.
Peluasan SST itu datang di atas beban fiskal yang sedia ada bagi sektor minyak sawit yang turut berdepan dengan levi durian runtuh, cukai jualan di Malaysia Timur dan duti eksport.
“Kesan terhadap kumpulan dijangka kekal negatif walaupun terdapat sedikit imbangan daripada cukai yang dikenakan ke atas jualan hiliran,” katanya dalam satu nota kajian.
SST baharu akan dikenakan ke atas pelbagai produk berasaskan sawit dan hasil sampingan, memberikan tamparan baharu kepada syarikat-syarikat yang sedang berhadapan dengan persekitaran operasi yang mencabar.
RHB Research berkata, syarikat seperti Ta Ann Holdings Bhd, Johor Plantations Group Bhd dan Sarawak Oil Palms Bhd juga mungkin menyaksikan keuntungan mereka merosot antara 4% hingga 11% disebabkan cukai ke atas pembelian BTS dari sumber luar.
Katanya, SD Guthrie Bhd, IOI Corp Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Bhd dijangka mengalami kesan yang lebih minimum, dengan impak pendapatan yang diunjurkan hanya antara 0.3% hingga 1%.
Walaupun terdapat tekanan dalam jangka masa pendek, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatannya buat masa ini, sementara menunggu penjelasan lanjut daripada syarikat-syarikat berkenaan mengenai bagaimana cukai tersebut akan menjejaskan prestasi kewangan mereka.
Pilihan saham utama RHB Research dalam sektor ini ialah Johor Plantations, Sarawak Oil Palms, SD Guthrie, Bumitama Agri Ltd dan PP London Sumatra Indonesia Tbk, dengan alasan penilaian yang menarik dan daya tahan relatif.
Bagaimanapun, prospek sektor itu masih dibebani pelbagai ketidaktentuan seperti ketegangan perdagangan, perubahan mandat biodiesel, cuaca yang tidak menentu serta risiko dasar di Indonesia.
Isu tenaga kerja, yang sebelum ini menjadi perkara utama, kini bukan lagi kebimbangan besar, dengan kebanyakan syarikat melaporkan tenaga kerja mencukupi atau hanya kekurangan kecil.
“Sehingga kami memperoleh gambaran yang lebih jelas, kami meletakkan penarafan sektor ini dalam status semakan semula,” kata RHB Research. - DagangNews.com








