KUALA LUMPUR 22 Okt - Pendapatan sektor automotif pada 2025 diramal menyusut disebabkan jumlah jualan lebih rendah dan peningkatan kos promosi, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Katanya, bagaimanapun keadaan itu sebahagiannya akan diimbangi pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan yen Jepun.
“Kami menjangka OEM nasional akan terus mengekalkan momentum jualan, manakala jenama bukan nasional akan kekal tertekan berikutan kemasukan pesaing baharu yang menawarkan harga agresif, rekaan lebih menarik dan produk yang dipertingkatkan," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, jumlah keseluruhan industri (TIV) merosot sebanyak 21.5% dari bulan ke bulan kepada 58,500 unit pada September, disebabkan kerja penyelenggaraan loji oleh pengeluar peralatan asal (OEM) utama serta bulan bekerja yang lebih pendek.
Sehingga kini, TIV susut 2.8% kepada 579,300 unit, mencerminkan sentimen pengguna yang lemah serta pengurangan tunggakan pesanan.
HLIB mengekalkan unjuran TIV bagi setahun penuh pada 770,000 unit, iaitu penurunan 5.8% tahun ke tahun, sedikit di bawah unjuran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 780,000 unit.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “neutral” terhadap sektor tersebut, dengan MBM Resources Berhad dan Sime Darby Berhad sebagai pilihan utama.
“MBM Resources berada pada kedudukan kukuh hasil pendedahan tinggi kepada jualan Perodua yang berdaya tahan, manakala Sime Darby mendapat manfaat daripada kekuatan berterusan dalam segmen Industrinya," katanya.- DagangNews.com








