KUALA LUMPUR 27 Nov – Ibraco Berhad mencatat lonjakan pendapatan suku tahunan sebanyak 33.3% kepada RM202.3 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3QFY25), didorong segmen pembinaan dan pembangunan hartanah, menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Pendapatan tersebut meningkat daripada RM151.8 juta pada 3QFY24, dengan sumbangan terbesar datang daripada segmen Pembinaan yang melonjak 46.4% tahun ke tahun (YoY) kepada RM104.1 juta berbanding RM71.1 juta, mewakili 51.5% daripada jumlah perolehan kumpulan hasil kemajuan berterusan projek infrastruktur di Sarawak.
Segmen pembangunan hartanah pula menjadi penyumbang kedua terbesar dengan perolehan RM86.2 juta, meningkat 22.8% YoY daripada RM70.2 juta, menyumbang 42.6% daripada jumlah hasil, disokong kadar pengambilan unit yang sihat serta kemajuan projek sedia ada.
Sementara itu, segmen pembuatan mencatat pertumbuhan paling tinggi iaitu 78.6% YoY kepada RM5.0 juta berbanding RM2.8 juta, mewakili 2.5% daripada jumlah hasil, manakala operasi Kuari merekodkan hasil RM4.4 juta, merosot 18.5% YoY daripada RM5.4 juta dan menyumbang 2.2% kepada hasil keseluruhan.
Segmen lain-lain meningkat 17.4% YoY kepada RM2.7 juta berbanding RM2.3 juta.
Seiring peningkatan hasil, keuntungan kasar (GP) kumpulan meningkat 6.8% kepada RM45.3 juta daripada RM42.4 juta, namun margin GP menyusut kepada 22.4% berbanding 27.9% ekoran sumbangan lebih tinggi daripada segmen pembinaan yang berkeuntungan lebih rendah.
Susulan itu, keuntungan bersih yang boleh diagih kepada pemilik syarikat bagi 3QFY25 direkodkan pada RM13.2 juta, berbanding RM15.3 juta pada 3QFY24.
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 30 September 2025 (9MFY25), Ibraco mencatat lonjakan hasil 77.5% YoY kepada RM579.3 juta daripada RM326.3 juta pada 9MFY24, disokong pertumbuhan kukuh segmen pembinaan dan pembangunan hartanah.
Lebih memberangsangkan, keuntungan bersih 9MFY25 meningkat lebih dua kali ganda kepada RM57.3 juta berbanding RM26.8 juta, turut dipacu oleh lain-lain pendapatan berjumlah RM22.0 juta berbanding hanya RM2.2 juta sebelum ini, hasil pampasan pengambilalihan tanah oleh kerajaan.
Mengulas prestasi itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Chew Chiaw Han berkata, prestasi perniagaan pembinaan dan hartanah kekal stabil disokong permintaan berterusan terhadap pembangunan utama syarikat.
“Syarikat kekal positif terhadap prospek ekonomi Malaysia pada 2025, dan dengan pelarasan terkini Kadar Dasar Semalaman oleh Bank Negara Malaysia yang mewujudkan persekitaran lebih akomodatif, portfolio kumpulan yang pelbagai meletakkan kami pada kedudukan yang berdaya tahan untuk terus berkembang,” katanya.
Menurutnya, pembangunan NorthBank seluas 123 ekar kekal sebagai pemacu utama dengan pembangunan bertemakan Live-Work-Education-Heal, termasuk stesen Autonomous Rapid Transit (ART) dan pembangunan Regency Specialist Hospital Kuching berkapasiti 300 katil yang disasarkan mula beroperasi pada 2029.
Tambah beliau, Arden City seluas 76 ekar di Kota Samarahan turut mencatat kemajuan memberangsangkan, manakala segmen pembinaan terus mendapat manfaat daripada penglibatan aktif dalam projek infrastruktur kerajaan termasuk Second Trunk Road dan Kuching Urban Transportation System.
Setakat 30 September 2025, Ibraco mencatatkan jualan belum dibil RM359.9 juta serta buku pesanan tertunggak sebanyak RM794.2 juta, sekali gus mengukuhkan keterlihatan pendapatan Kumpulan dalam tempoh akan datang. - DagangNews.com








