KUALA LUMPUR 22 Jun – Eastern & Oriental Bhd (E&O) memperluaskan pembangunan di Pulau Andaman, Pulau Pinang menerusi pembinaan sebuah hospital swasta tertiari (penjagaan kesihatan peringkat ketiga) yang menawarkan pelbagai disiplin bernilai RM350 juta bersama Cengild Medical Bhd dan Skyspring Sdn Bhd.
Projek berkenaan akan dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuh E&O iaitu KCB Holdings Sdn Bhd selepas ketiga-tiga pihak memeterai perjanjian usaha sama bersyarat.
Pulau Andaman merupakan pulau buatan yang dibangunkan E&O melalui projek penambakan di pesisir Pulau Pinang dan dijangka menjadi sebuah pembangunan bandar bersepadu pada masa hadapan.
Di bawah kerjasama tersebut, Skyspring akan menjadi pemegang saham terbesar dengan pegangan sebanyak 45% diikuti KCB Holdings sebanyak 30% dan Cengild Medical sebanyak 25%.
Sebuah syarikat usaha sama akan ditubuhkan sebelum sebuah entiti operasi milik penuh diwujudkan bagi mengendalikan pembangunan dan operasi hospital itu.
Menerusi kerjasama tersebut, Cengild Medical akan menyumbang kepakaran dalam bidang penjagaan kesihatan sistem penghadaman dan abdomen, selain menyediakan sokongan dari segi klinikal, operasi dan pengurusan strategik.
Skyspring pula diberi tanggungjawab merancang pembangunan perkhidmatan perubatan dan bidang kepakaran, manakala KCB Holdings akan menguruskan penyediaan tapak serta pelaksanaan kerja pembinaan hospital berkenaan.
Pembangunan hospital itu akan dilaksanakan dalam dua fasa dan dijangka menyediakan 240 katil untuk menampung keperluan perkhidmatan kesihatan di kawasan tersebut.
Bagi membiayai projek itu, dana akan diperoleh melalui gabungan pinjaman bank dan suntikan ekuiti daripada para pemegang saham dengan KCB Holdings komited menyumbang sebanyak RM105 juta.
Sementara itu, Pengarah Urusan E&O, Kok Tuck Cheong berkata, pembinaan hospital tersebut adalah satu lagi langkah penting dalam menjadikan Pulau Andaman sebagai sebuah pembangunan yang lengkap dan mampan.
Beliau berkata, penyediaan kemudahan kesihatan yang berkualiti merupakan antara elemen penting dalam sesebuah bandar kerana ia mampu meningkatkan tahap kesejahteraan penduduk.
Menurutnya, kehadiran hospital swasta itu dijangka memperkukuh nilai pembangunan Pulau Andaman dan menjadikannya lebih menarik kepada keluarga, golongan profesional serta pesara yang mencari persekitaran kediaman dengan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang baik.
Hospital berkenaan disasarkan siap pada suku keempat 2029, tertakluk kepada pemenuhan syarat-syarat yang ditetapkan serta memperoleh semua kelulusan, permit dan lesen yang diperlukan daripada pihak berkuasa berkaitan. - DagangNews.com








