Ocean Vantage teroka sektor pembinaan menerusi cadangan pengambilalihan Bina Gemilang Bersatu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ocean Vantage teroka sektor pembinaan menerusi cadangan pengambilalihan Bina Gemilang Bersatu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Jun – Ocean Vantage Holdings Bhd bercadang mengambil alih syarikat pembinaan berpangkalan di Sarawak, Bina Gemilang Bersatu Sdn Bhd (BGB) pada harga RM10 juta sebagai langkah mempelbagaikan sumber pendapatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap perniagaan sokongan minyak dan gas.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan sokongan minyak dan gas itu berkata, cadangan pengambilalihan berkenaan akan membuka aliran pendapatan baharu susulan penurunan hasil daripada segmen kejuruteraan, perolehan dan pembinaan serta pengurusan projeknya.

 

Cadangan pengambilalihan itu melibatkan penerbitan sehingga 50 juta saham baharu Ocean Vantage pada harga terbitan 20 sen sesaham bagi memperoleh keseluruhan pegangan ekuiti dalam BGB.

 

Harga terbitan tersebut mewakili premium sebanyak 0.9% berbanding purata harga pasaran berwajaran mengikut jumlah dagangan (VWAP) lima hari Ocean Vantage sebanyak 19.82 sen sehingga 18 Jun 2026 dan premium 17% berbanding aset bersih teraudit sesaham syarikat berjumlah 17.09 sen setakat 31 Disember 2025.

 

Pembayaran bagi pengambilalihan itu akan dibuat secara berperingkat, dengan saham bernilai RM1.2 juta diterbitkan sebaik sahaja transaksi dimuktamadkan manakala baki saham bernilai RM8.8 juta hanya akan diterbitkan sekiranya BGB mencapai keuntungan selepas cukai sekurang-kurangnya RM2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

 

Sekiranya syarikat pembinaan itu gagal mencapai sasaran keuntungan ditetapkan, jumlah saham bagi peringkat kedua akan dikurangkan secara berkadar, manakala tiada saham tambahan akan diterbitkan jika BGB tidak mencatatkan keuntungan atau mengalami kerugian.

 

Menurut Ocean Vantage, harga pembelian RM10 juta itu menilai BGB pada gandaan lima kali keuntungan terjamin, lebih rendah berbanding nisbah harga kepada pendapatan syarikat pembinaan tersenarai yang berada antara 6.6 kali hingga 18.3 kali.

 

t
Kerja menaik taraf jalan raya bagi projek laluan berkembar Serian-Gedong-Samarahan 

 

BGB adalah kontraktor G7 dan layak membida projek pembinaan tanpa had nilai kontrak, mencatatkan keuntungan bersih belum diaudit sebanyak RM563,000 dengan hasil RM5.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 berbanding keuntungan bersih RM123,000 dan hasil RM3.93 juta pada tahun sebelumnya.

 

Syarikat itu kini mempunyai dua projek sedang berjalan bernilai keseluruhan RM71.35 juta membabitkan kerja menaik taraf jalan raya bagi projek laluan berkembar Serian-Gedong-Samarahan dan kerja pembinaan bagi projek bekalan air serantau Lundu-Sematan.

 

Sehingga 8 Jun 2026, BGB mempunyai buku tempahan tertunggak bernilai RM63.97 juta dan buku tender sekitar RM48.68 juta.

 

Ocean Vantage berkata, bagi tahun kewangan 2025, hasil kumpulan merosot kepada RM110.58 juta berbanding RM123.64 juta pada tahun sebelumnya dan RM169.69 juta pada tahun kewangan 2023, manakala hasil segmen kejuruteraan, perolehan dan pembinaan serta pengurusan projek susut kepada RM24.43 juta daripada RM84.63 juta dalam tempoh sama, terutamanya selepas selesainya projek Bintulu Additional Gas Facility 2.

 

Cadangan pengambilalihan itu merupakan transaksi pihak berkaitan memandangkan Pengarah Urusan Ocean Vantage iaitu Kenny Ronald Ngalin memiliki 50% kepentingan dalam BGB manakala baki 50% dimiliki oleh pengarah BGB, George Henry.

 

Selepas kesemua 50 juta saham pertimbangan diterbitkan, modal saham terbitan Ocean Vantage akan meningkat kepada 479.94 juta saham daripada 429.94 juta saham, dengan Kenny dijangka meningkatkan pegangan langsungnya kepada 5.84% manakala George akan muncul sebagai pemegang saham dengan kepentingan 5.21%.

 

Kenny akan menarik diri daripada perbincangan dan pengundian berkaitan cadangan itu bagi mengelakkan konflik kepentingan, manakala Malacca Securities Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat bebas kepada pengarah dan pemegang saham yang tidak berkepentingan. 

 

Ocean Vantage menjangkakan perniagaan pembinaan itu akhirnya akan menyumbang lebih 25% kepada keuntungan bersih kumpulan atau mewakili lebih 25% daripada aset bersihnya yang bakal menjadi pemacu pertumbuhan baharu syarikat. - DagangNews.com