Pencapaian Malaysia di kedudukan ke-23 Laporan Daya Saing Dunia 2025 bukti usaha kerajaan berkesan - Persatuan PKS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pencapaian Malaysia di kedudukan ke-23 Laporan Daya Saing Dunia 2025 bukti usaha kerajaan berkesan - Persatuan PKS

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 18 Jun – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menyifatkan, pencapaian negara yang melonjak 11 anak tangga kepada kedudukan ke-23 dalam Laporan Daya Saing Dunia (WCR) 2025, membuktikan peranan yang dimainkan oleh kerajaan dan sektor perniagaan yang berjaya mengukuhkan ekonomi negara.

 

Presidennya, Datuk William Ng berkata, inisiatif kerajaan juga memudahkan urusan perniagaan dan membantu perkembangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Katanya lagi, Malaysia mencatat kemajuan dalam banyak aspek seperti kecekapan pentadbiran kerajaan, kekuatan sektor perniagaan dan pelaburan dalam penyelidikan serta pembangunan (R&D). 

 

Tambahnya, usaha membanteras rasuah dan mengurangkan birokrasi juga membantu meningkatkan prestasi negara.

 

"Inisiatif seperti Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), pelaksanaan Akta Iltizam dan pasukan khas bagi memperbaiki kedudukan Indeks Persepsi Rasuah memberi kesan besar kepada suasana perniagaan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Dalam laporan yang diumumkan semalam, Malaysia kini mendahului beberapa negara jiran ASEAN berbanding Thailand di kedudukan ke-30, Indonesia (40) dan Filipina (51).

 

Pencapaian itu turut meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap keupayaan bersaing negara.

 

Ng pada masa sama menyatakan, pengurangan masa dan kos urusan perniagaan membolehkan lebih banyak syarikat terutamanya PKS, bergerak lebih pantas dan berkesan dalam pasaran.

 

Beliau bagaimanapun menegaskan, usaha berterusan masih diperlukan bagi memastikan Malaysia kekal bersaing dalam jangka panjang memandangkan negara menyasarkan untuk berada dalam kelompok 12 teratas dunia menjelang 2033, selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI.

 

"Untuk mencapai sasaran itu, Samenta menggesa kerajaan supaya memperkukuh sistem pendidikan dan latihan kemahiran, mempercepat peralihan digital di semua sektor, serta menyediakan lebih banyak insentif kepada syarikat tempatan untuk melabur dalam inovasi," ujarnya.

 

Beliau turut mencadangkan agar lebih banyak platform diwujudkan supaya PKS dapat mengakses teknologi baharu, pembiayaan dan pasaran antarabangsa. 

 

"PKS adalah tulang belakang ekonomi negara. Kita tidak boleh abaikan mereka dalam usaha bersaing di peringkat global," katanya.

 

Beliau yakin, dengan kerjasama rapat antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti perniagaan, Malaysia mampu terus meningkatkan kedudukan dalam senarai daya saing global pada masa depan. - DagangNews.com