KUALA LUMPUR 13 Mac - Saham Saliran Group Berhad membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 27.5 sen, peningkatan kecil 1.85% berbanding tawaran awal permulaan (IPO) sebanyak 27 sen.
Saham kumpulan dibuka pada paras tertinggi sebanyak 27.5 sen dan kekal paras itu sepanjang hari dengan jumlah dagangan sebanyak 1.1 juta saham.
Penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE menandakan perkembangan baharu dalam mengukuhkan komitmen bagi memacu pertumbuhan dalam sektor bekalan perindustrian, khususnya dalam industri minyak dan gas serta infrastruktur.
Dengan kedudukannya yang kukuh di Malaysia dan kehadiran yang semakin berkembang di Asia Tenggara, Saliran Group berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan permintaan industri dan meningkatkan jangkauan pasarannya.
Pengarah Urusan Saliran Group, Liaw Choon Wei berkata, penyenaraian itu merupakan bukti dedikasi kumpulan terhadap pertumbuhan, kecemerlangan operasi dan mencipta nilai jangka panjang untuk pemegang kepentingan.
Beliau yakin dengan keupayaan kumpulan mengembangkan dan mengukuhkan rantaian bekalan serta meningkatkan keupayaan untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan.
"Kami kekal komited untuk memacu pertumbuhan mampan dan merebut peluang baharu dalam sektor bekalan industri serta minyak dan gas," katanya dalam satu kenyataan.
Saliran memperoleh RM21.7 juta daripada IPO yang akan diperuntukan bagi memacu pertumbuhan dan pengembangan operasi.
Hasilnya akan digunakan untuk penubuhan pejabat jualan di Indonesia, pembelian mesin dan trak penghantaran untuk meningkatkan kecekapan operasi, pembayaran balik pinjaman bank untuk mengukuhkan fleksibiliti kewangan, serta modal kerja am untuk menyokong aktiviti perniagaan harian.
Sebahagian daripada dana juga akan digunakan bagi menampung perbelanjaan penyenaraian.
Malacca Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO ini.- DagangNews.com








