Pemulihan sektor pelancongan berpotensi mengukuhkan prospek sektor pengguna, kata MIDF Research  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemulihan sektor pelancongan berpotensi mengukuhkan prospek sektor pengguna, kata MIDF Research 

Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Feb - Prospek sektor pengguna kekal optimis, disokong oleh peruntukan RM550 juta untuk promosi pelancongan dalam Belanjawan 2025 dan lanjutan perjalanan tanpa visa bagi pelancong China sehingga 2026.

 

MIDF Research, kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, yang menyasarkan 35.6 juta ketibaan pelancong dan menjana hasil RM147.1 bilion, mengukuhkan lagi prospek pertumbuhan jangka panjang sektor itu.

 

“Pemulihan setor pelancongan yang berterusan dijangka memacu aktiviti pengguna lebih kukuh, memanfaatkan sektor utama seperti makanan dan minuman (F&B), runcit dan kedai serbaneka.

 

“Peningkatan aliran masuk pelancong memberi petanda baik bagi pemain sektor makanan dan minuman (F&B) seperti Spritzer Bhd, yang dijangka mendapat manfaat daripada permintaan air botol lebih tinggi,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu yakin Oriental Kopi Holdings Bhd akan memanfaatkan daripada peningkatan penghuni di pusat beli-belah yang akan menarik pelancong mencuba masakan tempatan.

 

Sementara itu, MIDF menganggap kedai serbaneka seperti Family Mart yang dikendalikan oleh QL Resources Bhd mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan makanan semasa dalam perjalanan, minuman dan keperluan perjalanan.

 

“Memandangkan trafik lapangan terbang menghampiri tahap pra-pandemik dan inisiatif kerajaan terus menarik lebih ramai pelawat antarabangsa, sektor pengguna kekal pada kedudukan yang baik untuk pertumbuhan yang mampan, mengukuhkan peranannya sebagai penerima manfaat utama kebangkitan semula pelancongan Malaysia,” katanya.

 


Selain itu, MIDF berkata, keadaan pasaran buruh yang berdaya tahan terus menyokong jualan runcit, dengan kadar pengangguran menurun kepada 3.1%, menandakan rekod terendah hampir sedekad.

 

Katanya, peningkatan ini disokong lagi oleh peningkatan stabil dalam kadar penyertaan tenaga buruh, yang meningkat kepada 70.6% pada Disember 2024.

 

"Di samping itu, inflasi indeks harga pengguna (IHP) utama menyederhana kepada 1.7% tahun ke tahun (YoY), manakala inflasi teras berkurangan kepada 1.6% YoY pada Disember 2024, berikutan tiga bulan genangan pada 1.8% YoY. 

 

"Ini menandakan tekanan permintaan asas terkawal, memupuk persekitaran stabil pertumbuhan sektor pengguna yang mampan," katanya.

 

Sementara itu, rasionalisasi subsidi RON95 yang ditangguhkan, dijangka berkuat kuasa pada pertengahan 2025 terus memberi kelegaan kepada pengguna, memandangkan 85% penduduk masih menerima subsidi, yang seterusnya membantu mereka berbelanja.  - DagangNews.com