Pemulihan operasi Indonesia bantu kukuhkan prospek Axiata mulai FY27 - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemulihan operasi Indonesia bantu kukuhkan prospek Axiata mulai FY27 - Penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 2 Sept - Axiata Group Bhd dijangka memasuki fasa pendapatan yang lebih kukuh apabila operasi Indonesianya semakin menghampiri pemulihan, manakala langkah penjanaan semula aset berpotensi membuka nilai tambahan kepada pemegang saham.

 

BIMB Securities mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap Axiata dengan harga sasaran RM3, didorong prospek pemulihan XLSmart menerusi sinergi selepas penggabungan serta potensi penyelesaian susut nilai dipercepatkan menjelang akhir 2026.

 

Firma penyelidikan itu berkata kerugian unit Indonesia berkurang 61% suku ke suku kepada 282 juta rupiah pada 2Q26, berbanding 716 juta rupiah pada suku sebelumnya.

 

Menurutnya, pihak pengurusan menjangkakan perniagaan tersebut kembali pulih pada 2027, dengan sumbangan dividen disambung semula pada 2028.

 

“Dalam tempoh ini, Robi Axiata PLC mendapat manfaat daripada kos pemerolehan pelanggan yang lebih rendah susulan kerajaan Bangladesh memansuhkan cukai SIM sebanyak 300 taka Bangladesh,” katanya.

 

Robi merupakan pengendali rangkaian mudah alih kedua terbesar di Bangladesh.

 

Pelaksanaan Pelan Strategik

Sementara itu, TA Research turut positif terhadap prospek Axiata, khususnya menerusi pelaksanaan pelan strategik Axiata28 yang memberi penekanan kepada disiplin modal, penyusunan portfolio dan penciptaan nilai.

 

Firma itu juga mengekalkan saranan ‘beli’, namun menurunkan harga sasaran kepada RM2.40 daripada RM2.60, selepas menaikkan diskaun konglomerat kepada 45% daripada 40%, mencerminkan jangkaan bahawa proses penjanaan aset mungkin mengambil masa lebih lama.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) pula menjangkakan pendapatan jangka pendek Axiata kekal lembut, dengan mengurangkan unjuran pendapatan FY26 hingga FY28 masing-masing sebanyak 23%, 6% dan 5%.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’, tetapi menurunkan harga sasaran kepada RM2.55, selain mengenal pasti potensi pengewangan pegangan Axiata dalam edotco sebagai pemangkin utama kepada penilaian semula saham.

 

Bagi 1H26 pula, hasil kumpulan turun kepada RM5.67 bilion daripada RM5.86 bilion, manakala keuntungan bersih berkurang kepada RM316.32 juta berbanding RM430.66 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Penganalisis menyifatkan prospek Axiata semakin bertambah baik apabila kumpulan bergerak ke arah portfolio yang lebih kecil dan sumbangan pendapatan yang lebih tinggi daripada pasaran operasi utamanya.

 

Walaupun prestasi kewangan jangka pendek mungkin kekal tidak sekata, pelaksanaan keutamaan strategik yang lebih kukuh menyediakan asas yang lebih mantap untuk pertumbuhan.

 

Perbezaan sasaran harga antara firma penyelidikan menunjukkan pandangan pasaran yang masih berbeza, namun majoriti kekal positif terhadap potensi pemulihan operasi, peningkatan dividen serta penjanaan aset Axiata. - DagangNews.com