Pemilik jenama Pierre Cardin Muslimah rancang IPO di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemilik jenama Pierre Cardin Muslimah rancang IPO di Pasaran ACE

Gambar Legno ID
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Mac – EMPG Group Bhd, pengedar berlesen untuk pakaian Muslimah berjenama Pierre Cardin dan beberapa jenama lain merancang untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi mendapatkan dana untuk mengembangkan rangkaian perniagaannya.

 

Syarikat itu memfailkan prospektus draf pada 5 Mac, dengan rancangan tawaran awam permulaan (IPO) melibatkan 121.6 juta saham baru dan 48.5 juta saham sedia ada untuk dijual.

 

Dana yang diperoleh daripada IPO akan digunakan untuk membuka kedai baru di bandar utama serta memperluaskan jualan melalui platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan TikTok.

 

Syarikat yang diasaskan di Kedah itu bermula dengan penubuhan Pinly Garment (M) Sdn Bhd pada 2003 oleh Pengasas Datuk Lee Leong Hock, isterinya Sin Pho Fong dan Pengarah Urusan Loh Tau Sing bersama dua rakan lain.

 

Ketika ini, EMPG mempunyai rangkaian lebih 557 kedai dan ruang jualan di pusat beli belah seluruh Malaysia.

 

Selain perniagaan runcit, EMPG juga menjalankan jualan borong kepada kedai lain dan membantu pelanggan mendapatkan pakaian siap di pakai melalui perkhidmatan mereka.

 

t

 

Pada 2015, syarikat menubuhkan Exhaust Garment Sdn Bhd bagi memperoleh jenama denim lelaki Exhaust yang popular di pasaran Malaysia Timur sejak 1990-an.

 

Exhaust Garment turut memperoleh hak jenama Pierre Cardin untuk pakaian Muslimah dan mula menjual produk itu pada Januari 2026. 

 

Syarikat bercadang membuka 15 butik dan 70 lagi ruang jualan di pusat beli belah dalam tempoh dua tahun, sebelum 31 Ogos 2027.

 

Selain itu, syarikat memperoleh hak jenama Brittania untuk pakaian kasual dan aksesori bagi golongan muda, dengan reka bentuk baharu dijangka dilancarkan awal 2026.

 

Dalam IPO tersebut, 30.3 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, 4.3 juta saham kepada individu layak, 75.8 juta saham untuk pelabur Bumiputera melalui penempatan persendirian dan 11.2 juta saham untuk pelabur terpilih.

 

Pengasas Lee Leong Hock dan Pengarah Urusan Loh Tau Sing akan menjual sebahagian saham mereka dalam IPO.

 

Selepas penjualan, pegangan Lee akan berkurang daripada 41.03 peratus kepada 28.8 peratus, manakala pegangan Loh akan berkurang daripada 38.79 peratus kepada 27 peratus. - DagangNews.com