Pemegang saham Talam Transform tentukan pelantikan juruaudit luar pada EGM 14 Mei ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemegang saham Talam Transform tentukan pelantikan juruaudit luar pada EGM 14 Mei ini

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Mei – Talam Transform Bhd akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) esok bagi mendapatkan mandat pemegang saham berhubung cadangan pelantikan juruaudit luar untuk meneliti beberapa urus niaga dan pelaburan lama syarikat.

 

EGM tersebut diadakan susulan perintah persetujuan yang direkodkan di Mahkamah Tinggi pada 8 April, selepas rundingan antara sekumpulan pemegang saham yang mencadangkan EGM dan lembaga pengarah syarikat mencapai persetujuan untuk membolehkan perkara itu dibawa semula kepada pemegang saham.

 

Sebelum ini, syarikat dilaporkan memperoleh injunksi mahkamah bagi menghalang pelaksanaan EGM tersebut, namun kedua-dua pihak kemudian bersetuju untuk menyelesaikan isu berkenaan melalui perintah persetujuan yang membuka laluan kepada mesyuarat berkenaan diadakan secara rasmi.

 

Dalam EGM itu, dua cadangan tidak mengikat akan dibentangkan untuk pertimbangan pemegang saham, termasuk cadangan pelantikan juruaudit bertauliah bagi menjalankan semakan terhadap beberapa transaksi terpilih dalam kumpulan syarikat.

 

Antara perkara yang dicadangkan untuk disemak termasuk hutang Talam Transform kepada IJM Properties Sdn Bhd, selain beberapa urus niaga berkaitan usaha sama dalam Trident Treasure Sdn Bhd.

 

Ia turut melibatkan pelaburan syarikat dalam Oaxis Sdn Bhd dan Million Tiara (M) Sdn Bhd, serta baki bayaran jualan yang masih tertunggak daripada Xtra Touch Sdn Bhd.

 

Sekiranya cadangan pertama diluluskan, cadangan kedua akan membuka laluan kepada pelantikan firma audit antarabangsa terkemuka seperti Ernst & Young, Deloitte, KPMG atau PricewaterhouseCoopers (PwC) bagi menjalankan semakan terperinci ke atas transaksi berkenaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Mohamad Razali Mohamad Rahim, berkata lembaga pengarah berpandangan cadangan audit tersebut tidak semestinya diperlukan kerana transaksi berkenaan telah berlaku lebih 15 tahun lalu dan sudah pun diaudit oleh juruaudit luar sedia ada.

 

Bagaimanapun, beliau berkata lembaga pengarah tetap mengambil pendekatan neutral serta menghormati pandangan pemegang saham dan akan menilai keputusan EGM berdasarkan kepentingan terbaik syarikat serta dalam lingkungan undang-undang dan perlembagaan syarikat.

 

Menurut beliau, pelaksanaan audit bebas itu juga berpotensi melibatkan kos yang tinggi serta memerlukan tempoh masa yang panjang, memandangkan sebahagian transaksi yang ingin disemak berlaku lebih satu dekad lalu.

 

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan pemegang saham yang memegang kira-kira 10% kepentingan dalam syarikat sebelum ini mencadangkan EGM bagi melantik juruaudit forensik, susulan prestasi kewangan syarikat yang terus mencatatkan kerugian dalam beberapa suku tahun terkini.

 

Pemegang saham berkenaan termasuk Loo Leong Fatt, Loo Loong Guan, serta Ang Lam Poah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif JAKS Resources Bhd yang menambah perhatian terhadap isu tadbir urus syarikat.

 

Bagi suku berakhir 31 Disember 2025, Talam Transform mencatatkan kerugian bersih lebih tinggi kepada RM7.57 juta berbanding RM4.28 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, manakala hasil merosot 65.8% kepada RM4.74 juta daripada RM13.85 juta.

 

Syarikat itu turut berdepan cabaran kewangan berpanjangan sejak lebih dua dekad lalu, dengan prestasi operasi yang masih belum menunjukkan pemulihan kukuh.

 

Dalam masa sama, saham Talam Transform kekal tidak berubah pada 7.5 sen, dengan nilai pasaran sekitar RM88.7 juta pada dagangan terkini. - DagangNews.com