KUALA LUMPUR 21 Mac - Pemegang saham Pharmaniaga Bhd meluluskan cadangan untuk mengumpul dana tunai sehingga RM653.52 juta, yang merupakan sebahagian daripada pelan penyusunan semula untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17).
Kumpulan itu jatuh ke status PN17 pada Februari 2023 kesan kemerosotan besar-besaran selepas tidak dapat menjual vaksin COVID-19 bernilai RM552.3 juta.
Pelan penyusunan semula yang dicadangkan itu termasuk pengurangan modal RM520 juta, terbitan hak untuk mengumpul sehingga RM353.52 juta dan penempatan persendirian RM300 juta.
Pada mesyuarat agung luar biasa (EGM), ketiga-tiga resolusi telah diluluskan dengan pemegang saham dan proksi menghadiri mesyuarat itu memegang 99.9%, menyokong.
Harga terbitan ilustrasi bagi terbitan hak, menurut pekeliling Pharmaniaga kepada pemegang saham, ditetapkan pada 10 sen, yang mewakili diskaun 61.5% daripada harga penutup terakhir Pharmaniaga sebanyak 26 sen pada Khamis.
Pemegang saham utama syarikat itu, Boustead Holdings Bhd (47.1%) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) (7.8%), telah memberi aku janji untuk melanggan hak mereka kepada terbitan hak tersebut.
Boustead dijangka menyumbang sehingga RM166.58 juta, manakala bahagian LTAT berjumlah RM27.68 juta.
Pharmaniaga masih belum mengumumkan pelabur berpotensi untuk penempatan persendiriannya.
Kira-kira 51.3% daripada hasil daripada panggilan tunai akan diperuntukkan kepada pembayaran balik hutang, yang berpotensi menghasilkan penjimatan faedah tahunan sehingga RM16.8 juta.
Sementara itu, 34% daripada dana akan ditujukan kepada pengembangan perniagaan, termasuk pemerolehan empat gudang baharu di seluruh Malaysia dan pembangunan vaksin, insulin dan ubat generik lain.
Pengarah Urusan Pharmaniaga, Zulkifli Jafar berkata, pihaknya berbesar hati kerana semua resolusi diluluskan dan ia merupakan langkah positif bagi keluar daripada status PN17.
"Kelulusan ini mewakili langkah utama dalam memulihkan kestabilan kewangan, mengoptimumkan struktur kos kami dan mengukuhkan kedudukan kewangan kami untuk pertumbuhan mampan masa hadapan," katanya.
Sejak diklasifikasikan sebagai PN17 pada Februari 2023, Zulkifli berkata, Pharmaniaga telah melaksanakan pelbagai inisiatif strategik untuk meningkatkan kecekapan operasi dan pengoptimuman kos merentas kumpulan.
Usaha ini telah menghasilkan keupayaan kumpulan untuk menyampaikan keputusan kewangan yang positif bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24), mencapai untung bersih sebanyak RM133.8 juta, menandakan pemulihan kerugian bersih sebanyak RM78.7 juta pada FY23.
"Kami berbangga kerana berjaya kembali kepada keuntungan dan membina asas yang lebih kukuh untuk penciptaan nilai jangka panjang. Dengan inisiatif strategik kami yang sedia ada dan berjalan dengan baik, kami yakin Pharmaniaga akan keluar dari PN17 seperti yang dirancang," kata Zulkifli.
Pharmaniaga kini mengendalikan empat kilang pembuatan di Malaysia dan satu di Indonesia, dengan pasaran eksport merangkumi Kesatuan Eropah (EU), Brunei, Hong Kong dan Singapura. - DagangNews.com








