Pemegang saham MRCB disaran sokong pemerolehan RM1.58 bilion baki pegangan BJSP daripada KWSP | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemegang saham MRCB disaran sokong pemerolehan RM1.58 bilion baki pegangan BJSP daripada KWSP

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 25 Nov – Pemegang saham tidak berkepentingan Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) disaran mengundi memihak kepada cadangan pemerolehan tunai RM1.58 bilion untuk mengambil alih baki 80% pegangan dalam Bukit Jalil Sentral Property Sdn Bhd (BJSP) daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), menurut MRCB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Dalam edaran nasihat bebas yang difailkan kepada bursa, Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) berkata urus niaga itu adalah “adil dan munasabah” serta tidak memudaratkan kepentingan pemegang saham tidak berkepentingan.

 

BJSP ditubuhkan bagi membangunkan projek Bukit Jalil Sentral seluas 76.14 ekar. Langkah MRCB untuk membeli keseluruhan pegangan KWSP dibuat selepas kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan berhubung semakan pelan pembangunan projek.

 

BJSP memiliki tiga lot tanah membabitkan taman rekreasi seluas 97,720 meter persegi, serta dua lot kosong berkeluasan 37,320 meter persegi dan 173,800 meter persegi.

 

Menurut Kenanga IB, penilaian harga pembelian MRCB dibuat berdasarkan beberapa penanda aras utama.

 

“Penilaian IVPS Property Consultant Sdn Bhd meletakkan nilai tanah pada RM2.06 bilion setakat 10 Julai, manakala nilai aset bersih belum diaudit BJSP berjumlah RM1.4 bilion setakat 30 Jun,” katanya.

 

“Kami juga menilai dividen prinsipal dan terkumpul bagi saham keutamaan boleh tebus kelas A (RPS-A) sehingga 10 Julai, selain mengambil kira penilaian KPMG Corporate Advisory Sdn Bhd terhadap saham jualan pada RM1.57 bilion berdasarkan nilai aset bersih terlaras,” kata Kenanga IB.

 

Kenanga IB berkata setelah meneliti metodologi penilaian kedua-dua penilai bebas, harga pertimbangan tersebut berada dalam julat munasabah.

 

Setelah selesai, BJSP akan menjadi anak syarikat milik penuh MRCB, sekali gus memberikan kawalan penuh kepada kumpulan itu terhadap pembangunan tanah berkenaan dan membolehkan ia meraih semua pulangan masa hadapan.

 

Pemerolehan turut merangkumi 1.13 bilion unit RPS-A yang menawarkan dividen 7% setahun secara berterusan.

 

Kenanga IB turut menekankan kelebihan lokasi strategik tanah tersebut kira-kira 1.9km dari MRANTI Park di Bukit Jalil, hab utama pembangunan pusat data berskala besar, selain capaian kepada rangkaian lebuh raya dan pengangkutan awam seperti LRT Sri Petaling, LRT Bukit Jalil dan MRT Sungai Besi.

 

Firma itu berkata prospek yang positif bagi pasaran hartanah Malaysia turut memperkukuh rasional pemerolehan tersebut.

 

Pemegang saham akan mengundi cadangan itu pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 18 Disember.

 

Pada Selasa, saham MRCB tidak berubah pada 43.5 sen, menjadikan nilai pasarannya RM1.92 bilion. Kaunter itu telah susut lebih 17% sejak awal tahun. - DagangNews.com