KUALA LUMPUR 21 Mac - Pemegang saham Magma Group Bhd meluluskan pembelian tanah pajakan seluas 0.91 hektar di Persiaran Dutamas, Kuala Lumpur berharga RM80 juta yang akan dipenuhi dengan gabungan tunai serta terbitan saham baharu.
Katanya, kumpulan itu akan mengeluarkan bayaran tunai sebanyak RM8 juta dan menerbitkan 120 juta saham biasa baharu dalam kumpulan itu dengan harga terbitan 20 sen sesaham dan 47.712 juta saham keutamaan tidak boleh tukar boleh tebus (RPS) dengan harga terbitan RM1.00 sesaham.
Kumpulan itu berkata, pemerolehan strategik itu akan meningkatkan portfolio pembangunan hartanah Magma dan membuka peluang pertumbuhan masa hadapan.
"Tanah itu diperuntukkan untuk pembangunan bercampur merangkumi kediaman dan hospitaliti.
"Tidak seperti projek konvensional, pembangunan ini bertujuan untuk memberikan pengalaman hidup yang lancar dan premium yang menggabungkan yang terbaik dari kedua-dua pembangunan hospitaliti dan kediaman ke pasaran Malaysia.
"Setelah siap, operasi dan pengurusan perkhidmatan untuk aprtmen servis akan diawasi oleh Magma Hospitality Management Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh kumpulan yang mempunyai kepakaran mendalam dalam operasi hotel," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pemegang saham kumpulan itu juga meluluskan cadangan pengurangan modal, yang memerlukan pengurangan sebanyak RM379.2 juta daripada modal saham terbitan Magma.
Katanya, kredit yang sepadan daripada pengurangan ini akan digunakan untuk mengimbangi kerugian terkumpul, menyediakan jadual bersih untuk pendapatan masa hadapan dan fleksibiliti kewangan yang lebih baik.
"Pelaksanaan itu bagaimanapun tidak memberi kesan ke atas pegangan ekuiti pemegang saham tetapi dijangka mengukuhkan struktur modal syarikat," katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan Magma Group, Datuk Seri Thomas Liang Chee Fong berkata, pembelian tanah di Dutamas dan pelaksanaan pengurangan modal akan membolehkan pihaknya mengoptimumkan kedudukan kewangan selain meletakkan syarikat untuk pengembangan masa depan.
"Kami komited untuk melaksanakan rancangan pertumbuhan secara strategik, memastikan nilai jangka panjang untuk pemegang saham.
"Kelulusan cadangan korporat ini sejajar dengan wawasan Magma untuk mengukuhkan asas perniagaannya, mengembangkan portfolio hartanah dan hospitalitinya, serta mengukuhkan kunci kira-kiranya," katanya. - DagangNews.com








