Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 2 berjumlah RM1.7 bilion diagihkan sebelum Aidilfitri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 2 berjumlah RM1.7 bilion diagihkan sebelum Aidilfitri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mac - Kerajaan akan menyalurkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 mulai 24 Mac 2025 dengan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion berbanding RM1.5 bilion pada tahun lalu.

 

Bagi STR Fasa 2, hampir 9 juta penerima yang terdiri daripada 60% rakyat dewasa Malaysia bakal mendapat bantuan sehingga RM650.

 

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Madani kekal peka akan keperluan golongan terbanyak dalam mengharungi beban kos sara hidup, lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri. 

 

"Peningkatan peruntukan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada 2025 sebanyak RM3 bilion atau 30% kepada RM13 bilion adalah ikhtiar untuk meningkatkan martabat hidup rakyat secara saksama,” kata dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar di dalam pangkalan data akan menerima pembayaran STR Fasa 2 melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing.

 

Pendekatan terkini kerajaan adalah membuka pendaftaran STR 2025 sepanjang tahun bagi memberi ruang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan. 

 

Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.

 

Semakan status kelayakan STR dan soalan lazim (FAQ) boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.

 

Orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi merujuk informasi mengenai program STR.- DagangNews.com