Budi Madani Diesel jamin bekalan, rakyat menikmati harga diesel subsidi lebih rendah - Amir Hamzah  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Budi Madani Diesel jamin bekalan, rakyat menikmati harga diesel subsidi lebih rendah - Amir Hamzah 

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Jun - Pembaharuan program Budi Madani Diesel bukan sahaja berjaya menjamin kelangsungan bekalan diesel dalam pasaran domestik, malah membolehkan rakyat menikmati harga diesel bersubsidi yang lebih rendah pada RM2.10 seliter berbanding RM2.15 sebelum ini.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaksanaan mekanisme penetapan harga diesel pada kadar pasaran juga membantu mengekang ketirisan akibat aktiviti penyeludupan dan penyalahgunaan bahan api oleh warga asing serta pihak industri yang tidak layak.

 

"Ketirisan akibat penyeludupan dan penyalahgunaan oleh bukan warganegara dan industri dapat dibendung dengan lebih berkesan apabila harga di pam ditetapkan pada harga pasaran, sekali gus menjamin kelangsungan bekalan dalam pasaran negara," katanya pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ir Hasni Mohamad (BN-Simpang Renggam) mengenai rasional kerajaan menyeragamkan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api dengan diesel kini turut menggunakan MyKad.

 

Amir Hamzah berkata, pembaharuan Budi Madani Diesel dijangka menjana penjimatan perbelanjaan subsidi sehingga RM2 bilion setahun.

 

"Sebahagian daripada penjimatan itu digunakan untuk mengurangkan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter, bermakna pembaharuan ini membolehkan rakyat Malaysia mendapat keistimewaan sebagai warganegara dengan menikmati diesel pada harga lebih rendah," katanya.

 

Mengenai jumlah kuota 200 liter sebulan, beliau berkata, berdasarkan statistik penggunaan diesel oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati lebih 80% pengguna mencatat penggunaan di bawah paras 200 liter sebulan, dengan purata penggunaan sekitar 140 liter sebulan.

 

Bagaimanapun katanya, mengambil kira majoriti kenderaan diesel rakyat ialah jenis jip atau pikap, Kerajaan menyediakan kelayakan tambahan Budi Madani 100 liter lagi yang boleh dipohon.

 

"Berdasarkan data DOSM, 95% pengguna diesel menggunakan kurang 300 liter sebulan dan dengan itu, jumlah kelayakan 300 liter sebulan mencukupi untuk rakyat terbanyak," katanya. - DagangNews.com