KUALA LUMPUR 4 Julai – Pemaju hartanah di Sarawak kini berdepan peningkatan kos ketara dalam sektor hartanah dan pembinaan susulan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai 2025.
Perluasan SST melibatkan cukai jualan ke atas lebih 240 produk berkaitan keluli dan jentera industri, serta cukai perkhidmatan 6% ke atas pembinaan bukan kediaman.
Penasihat Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (Sheda), Datuk Sim Kiang Chiok berkata, kos bahan binaan serta perkhidmatan oleh kontraktor dan subkontraktor telah meningkat susulan peluasan SST.

"Sektor hartanah dan pembinaan kini berdepan cabaran mendalam, bukan sahaja akibat perluasan SST, tetapi juga pelaksanaan sistem e-invois mandatori," katanya dalam satu kenyataan.
Kiang Chiok yang juga Pengerusi SUPP Cawangan Stakan berkata, pelaksanaan e-invois menambah beban pentadbiran kepada syarikat hartanah dan pembinaan.
Syarikat kini perlu melabur masa dan sumber bagi menaik taraf sistem perakaunan serta melatih kakitangan untuk memastikan integrasi e-invois dengan rekod kewangan berjalan lancar.
Kombinasi SST yang diperluas dan e-invois menyerupai sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini, namun lebih kompleks dan berisiko menyebabkan percukaian berganda.
"Berbeza dengan GST, SST tidak menyediakan kredit cukai sepanjang rantaian bekalan, sekali gus membuka ruang kepada cukai dikenakan pada pelbagai peringkat dan meningkatkan kos akhir kepada pengguna tanpa ketelusan terhadap komponen cukai dalam harga.
Walaupun sistem e-invois boleh mempertingkat pematuhan dan rekod perniagaan, pelaksanaannya dijangka menaikkan kos pembinaan, sekali gus menyumbang kenaikan harga hartanah dan kos sara hidup.
Beliau turut memberi amaran kos pematuhan dan operasi dijangka terus meningkat apabila caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mandatori untuk pekerja asing mulai Oktober 2025.- DagangNews.com








