Pelupusan Edenor Technology dijangka pacu lonjakan keuntungan Mega First Corp sehingga 20% mulai FY27 - AmInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelupusan Edenor Technology dijangka pacu lonjakan keuntungan Mega First Corp sehingga 20% mulai FY27 - AmInvest

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Julai - Mega First Corp Bhd (MFCB) dijangka memasuki fasa pertumbuhan pendapatan yang lebih kukuh bermula tahun kewangan 2027 (FY27) susulan cadangan pelupusan pegangan 50% dalam syarikat usaha sama oleokimia, Edenor Technology Sdn Bhd.

 

AmInvestment Bank Research (AmInvest) berkata, langkah melupuskan pegangan dalam loji Edenor di Teluk Panglima Garang akan menghapuskan salah satu faktor utama yang selama ini menjejaskan keuntungan kumpulan.

 

Menurut firma penyelidikan itu, tanpa sumbangan Edenor, keuntungan bersih MFCB bagi FY27 diunjurkan meningkat antara RM60 juta hingga RM70 juta, bersamaan pertumbuhan sekitar 15% hingga 20%.

 

"Bagaimanapun, keputusan kewangan FY26 dijangka terkesan oleh kerugian rosot nilai sekali sahaja sebanyak RM101 juta, bersamaan nilai buku Edenor, bergantung kepada harga pelupusan muktamad," katanya dalam nota penyelidikan.

 

edenor

 

Penyumbang Utama Prestasi

AmInvest berkata, perniagaan tenaga boleh diperbaharui kekal menjadi penyumbang utama kepada prestasi MFCB, diterajui oleh Loji Hidroelektrik Don Sahong (DSHP) di Laos.

 

Katanya, prestasi loji itu lazimnya lebih kukuh pada suku kedua berikutan peningkatan paras air semasa musim monsun, dengan faktor ketersediaan setara dijangka melebihi 80%, berbanding 74.4% pada suku pertama.

 

Selain itu, kumpulan turut berpotensi meraih manfaat daripada penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat kerana hasil DSHP diterima dalam mata wang tersebut.

 

Menurut AmInvest, setiap kenaikan 10 sen dalam kadar pertukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat dianggarkan mampu meningkatkan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) MFCB sebanyak kira-kira 2%.

 

Sementara itu, bahagian sumber dan pembungkusan dijangka terus beroperasi dalam persekitaran yang mencabar.

 

Permintaan terhadap produk kapur masih berdepan tekanan persaingan daripada pengeluar China, manakala segmen pembungkusan terus dipengaruhi sentimen pengguna global yang lemah.

 

Walaupun demikian, kedua-dua segmen itu dijangka terus menyumbang EBIT yang stabil sebanyak RM61 juta bagi FY26, sekali gus memberikan sokongan kepada prestasi keseluruhan kumpulan.

 

Kekal Saranan "Beli"

Sehubungan itu, AmInvest mengekalkan saranan "Beli" terhadap MFCB dengan harga sasaran RM3.84 sesaham, berdasarkan penilaian nisbah harga kepada pendapatan (PE) FY27 sebanyak 10 kali.

 

Firma penyelidikan itu turut berpandangan penilaian semasa saham MFCB masih menarik apabila didagangkan pada PE FY27 sekitar 7.5 kali, sekali gus menawarkan potensi peningkatan nilai kepada pelabur, terutama apabila kumpulan memasuki fasa pertumbuhan pendapatan yang lebih mampan selepas penstrukturan semula portfolio perniagaannya. - DagangNews.com