Peluasan SST diramal jejas keuntungan syarikat perladangan sehingga 11% - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peluasan SST diramal jejas keuntungan syarikat perladangan sehingga 11% - RHB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jun - Peluasan struktur Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai ini diramal menjejaskan keuntungan syarikat perladangan sehingga 11%, kata RHB Research.

 

Katanya, struktur cukai yang disemak semula akan mengenakan SST 5% ke atas beberapa produk huluan dan hiliran, termasuk tandan buah segar (BTS), tandan kosong (EFB), tempurung isirung sawit (PKS), bahan penyulingan asid lemak sawit (PFAD), bahan penyulingan asid lemak isirung sawit (PKFAD) dan minyak isirung sawit (PKO).

 

Firma penyelidikan itu berkata, cukai tersebut dikenakan sebagai tambahan kepada levi sedia ada dalam industri sawit termasuk cukai keuntungan luar biasa, cukai jualan minyak sawit mentah (MSM) di Malaysia Timur serta cukai eksport terhadap semua produk sawit.

 

"Kami menjangkakan kesan negatif terbesar akan datang daripada pembelian BTS dari luar oleh pengilang MSM, serta pembelian PKO luar oleh peladang hiliran.

 

"Walaupun mungkin terdapat faktor lain dalam bentuk cukai tambahan yang akan dikenakan ke atas penjualan EFB, PKS, PFAD dan sebagainya, kami percaya kesan terhadap pendapatan syarikat perladangan akan menjadi negatif," katanya dalam satu nota kajian.

 

RHB Research berkata, unjuran pendapatan kekal tidak berubah buat masa ini sehingga mereka memperoleh penjelasan lanjut.

 

Firma penyelidikan itu sedang mengumpul maklumat dan penjelasan daripada syarikat-syarikat di bawah liputan mereka berkenaan anggaran terhadap kesan perubahan itu.

 

Sementara itu, unjuran harga MSM sebanyak RM4,300 bagi setiap tan untuk tahun ini dijangka sukar dicapai.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjelaskan syarikat perladangan secara keseluruhannya masih mencatatkan keuntungan, walaupun penilaian pasaran kekal rendah.

 

"Harga MSM dijangka pulih menjelang akhir tahun apabila pengeluaran bermusim mula menyusut," katanya. - DagangNews.com