Peluang kerja dan perumahan mampu milik bakal tentukan sokongan rakyat Johor kepada JS-SEZ, menurut kajian sentimen awam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peluang kerja dan perumahan mampu milik bakal tentukan sokongan rakyat Johor kepada JS-SEZ, menurut kajian sentimen awam

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 Mac — Sokongan rakyat Johor terhadap pembangunan Johor Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) kekal positif secara keseluruhan, namun bergantung kepada sejauh mana inisiatif itu mampu memberi manfaat nyata kepada penduduk tempatan, khususnya dari segi peluang pekerjaan dan kemampuan memiliki rumah.

 

Menurut kajian sentimen awam terkini yang diterbitkan oleh Central Force International menjelang pengumuman Pelan Induk JS-SEZ yang dijangka pada 30 Mac 2026, sebanyak 81.4% rakyat Johor menyatakan penciptaan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan sebagai syarat utama menyokong inisiatif tersebut.

 

Ini diikuti oleh perumahan mampu milik (70.1%), perancangan trafik (47.3%), pengurusan alam sekitar (32.5%) serta penambahbaikan kemudahan awam (30.5%).

 

Penemuan itu menunjukkan sentimen optimistik terhadap zon ekonomi tersebut wujud, namun bersifat pragmatik dan berorientasikan hasil.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Central Force, See Toh Wai Yu berkata angka pelaburan yang besar tidak semestinya terus diterjemahkan kepada keyakinan awam.

 

“Orang ramai mentafsir JS-SEZ melalui faktor nyata yang mereka boleh lihat, bekerja atau alami secara langsung. Ini menunjukkan komunikasi yang berkesan dan susunan pelaksanaan pembangunan memainkan peranan sama penting dengan kemasukan modal,” katanya.

 

Membentuk Keyakinan Awam

Secara keseluruhan, dapatan kajian menunjukkan cabaran utama Johor bukan lagi menarik pelaburan, tetapi menukar momentum pelaburan kepada keyakinan awam yang berterusan.

 

Menurut Wai Yu, hampir 38% responden yang masih tidak pasti menunjukkan masih wujud jurang pengetahuan yang disifatkannya sebagai “tetingkap kejelasan” yang kritikal.

 

“Pelan Induk yang bakal diumumkan bukan sekadar pelan pembangunan sektor, tetapi isyarat keyakinan. Komitmen jelas mengenai pengambilan pekerja tempatan, perumahan mampu milik dan susunan pembangunan infrastruktur akan menentukan sama ada ketidakpastian ini bertukar menjadi sokongan,” katanya.

 

Menurut laporan itu, pelaburan yang diluluskan berkaitan JS-SEZ dilaporkan telah mencecah RM37.1 bilion dalam tempoh enam bulan.

 

Bagaimanapun, dapatan daripada bab pertama Laporan Sentimen Awam Central Force menunjukkan 64% rakyat Johor masih kurang jelas mengenai inisiatif tersebut atau bagaimana ia memberi kesan secara langsung kepada mereka.

 

Dalam kalangan responden yang mengetahui tentang JS-SEZ, inisiatif itu paling banyak dikaitkan dengan:

  • Pusat teknologi dan inovasi (23.8%)

  • Taman perindustrian (18.6%)

  • Pembangunan berkaitan pelancongan (18.0%)

  • Perumahan dan hartanah (17.7%)

  • Hab perniagaan atau komersial (12.5%)

 

Kos sara hidup jadi kebimbangan utama

Walaupun sokongan terhadap projek tersebut kekal positif, penduduk menilai pembangunan itu berdasarkan tekanan ekonomi harian.

Antara kebimbangan utama yang dinyatakan ialah:

  • Peningkatan kos sara hidup (21.6%)

  • Kenaikan harga hartanah (13.8%)

  • Kesesakan trafik (11.5%)

  • Tadbir urus dan kesinambungan dasar (9.8%)

 

Menariknya, 37.8% responden memilih jawapan “tidak tahu” apabila ditanya mengenai kebimbangan mereka, menunjukkan persepsi awam terhadap projek itu masih dalam proses pembentukan.

 

Menurut Wai Yu, dalam projek pembangunan ekonomi berskala besar, ketidakpastian pada peringkat awal lazimnya mencerminkan jurang maklumat dan bukannya penentangan.

 

“Isyarat paling jelas daripada data berkaitan kos sara hidup dan perumahan, yang menunjukkan isi rumah menilai sama ada pembangunan ini akan memperbaiki atau menekan realiti ekonomi harian mereka,” katanya.

 

Implikasi kepada kerajaan dan perniagaan

Kajian tersebut juga menunjukkan bahawa JS-SEZ kini bukan sekadar koridor pelaburan, tetapi turut menjadi ujian keupayaan pelaksanaan transformasi ekonomi berskala besar.

 

Bagi pembuat dasar, isu utama bukan lagi mengenai cita-cita pembangunan, tetapi kredibiliti pelaksanaan, termasuk ketepatan masa projek, konsistensi institusi dan penyelarasan dasar.

 

Bagi sektor perniagaan pula, “lesen sosial” atau penerimaan masyarakat dijangka menjadi kelebihan daya saing.

 

Syarikat yang selari dengan pembangunan tenaga kerja tempatan, perancangan bandar dan integrasi komuniti jangka panjang berpotensi menikmati halangan operasi yang lebih rendah serta reputasi yang lebih kukuh.

 

Dalam konteks ini, JS-SEZ dilihat bukan sekadar platform ekonomi, tetapi juga platform keyakinan, yang akan mempengaruhi naratif pelaburan Johor dalam tempoh beberapa tahun akan datang. - DagangNews.com