KUALA LUMPUR 4 Jun - Segmen pelancongan sukan mesra Muslim berpotensi berkembang menjadi pasaran bernilai AS$21 bilion (RM89 bilion) di peringkat global menjelang 2030 sekiranya destinasi pelancongan dan penganjur acara berjaya memperkukuh elemen keterangkuman serta memenuhi keperluan pelancong Muslim sepanjang perjalanan mereka.
Perkara itu didedahkan dalam laporan terbaharu yang diterbitkan oleh Mastercard dengan kerjasama CrescentRating yang mengkaji hubungan antara sukan, pelancongan dan keperluan berasaskan kepercayaan agama.
Laporan bertajuk Proof Wins: The Convergence of Sports, Travel, and Faith mendapati minat pelancong Muslim terhadap acara sukan antarabangsa terus meningkat, namun keputusan untuk menghadiri acara tersebut banyak dipengaruhi oleh faktor seperti ketersediaan makanan halal, kemudahan solat, akses pengangkutan dan sistem pembayaran yang selamat.
Menurut laporan itu, perbelanjaan pelancong Muslim yang menghadiri acara sukan dijangka meningkat daripada kira-kira AS$11 bilion pada 2025 kepada AS$17 bilion menjelang 2030.
Bagaimanapun, nilai tersebut boleh berkembang kepada AS$21 bilion sekiranya destinasi dan penganjur acara berjaya mempamerkan kesiapsiagaan mesra Muslim secara jelas ketika proses tempahan serta menyampaikannya secara konsisten di lokasi acara.
Kajian itu turut menunjukkan ketibaan pelancong Muslim antarabangsa dijangka meningkat daripada 186 juta orang pada 2025 kepada 245 juta orang menjelang 2030, didorong oleh populasi muda yang celik digital dan semakin mengutamakan pengalaman pelancongan berasaskan aktiviti.
Namun begitu, hanya sekitar 6% daripada perjalanan antarabangsa pelancong Muslim ketika ini melibatkan kehadiran ke acara sukan, sekali gus menunjukkan ruang pertumbuhan yang besar untuk diterokai oleh industri pelancongan dan penganjur acara sukan.
Naib Presiden Kanan Pusat Penyelesaian Pelanggan Asia Tenggara Mastercard, Aisha Islam berkata, pelancongan sukan kini memasuki fasa pertumbuhan baharu di mana pengalaman, komuniti dan hubungan budaya menjadi sama penting dengan acara itu sendiri.
“Pelancong Muslim merupakan antara segmen yang berkembang paling pantas dalam industri pelancongan global.
“Apabila destinasi menawarkan kejelasan dan keyakinan dari aspek keselamatan pembayaran, akses kepada makanan halal dan kemudahan solat, mereka berupaya membuka potensi penyertaan serta perbelanjaan yang lebih besar,” katanya.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CrescentRating Fazal Bahardeen berkata, hasil kajian menunjukkan kekangan utama bukan terletak pada permintaan tetapi tahap keyakinan pelancong.
Katanya, pelancong Muslim sememangnya berminat untuk menghadiri acara sukan utama, namun penyertaan hanya meningkat apabila maklumat berkaitan makanan halal, kemudahan solat dan pengangkutan disampaikan dengan jelas sebelum perjalanan bermula.
Laporan itu turut menegaskan media sosial kini menjadi saluran utama bagi pelancong Muslim mendapatkan maklumat mengenai acara sukan dan sering mendorong perjalanan berkumpulan bersama keluarga atau rakan-rakan. - DagangNews.com








