KUALA LUMPUR 24 Feb - Ibraco Bhd mengunjurkan jualan baharu RM400 juta pada FY25 disokong pelancaran projek baharu berjumlah RM550 juta.
TA Securities berkata, pelancaran itu adalah di perbandaran utama Sarawak, termasuk Northbank Kuching dan Arden City Kota Samarahan.
Katanya, projek di NorthBank Central dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM124 juta yang dilancarkan pada November 2024 telah mencapai kadar pengambilan sebanyak 90%.
"Walaupun perjanjian jual beli (SPA) tidak ditandatangani tepat pada masanya untuk 2024, ia kini telah dimuktamadkan dan dijangka menyumbang sekurang-kurangnya RM110 juta dalam jualan pada FY25.
"Bagi sektor pembinaan, tiada kemenangan kontrak besar pada FY24, kerana kumpulan itu memberi tumpuan untuk melaksanakan projek sedia ada," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Ibraco meningkat lebih dua kali ganda kepada RM21.5 juta pada 4QFY24 dipacu kemajuan segmen pembinaan
Terdahulu, hasil bagi 4QFY24 juga melonjak kepada RM236.5 juta berbanding RM105.4 juta pada 4QFY23.
Pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh segmen pembinaan, yang pendapatannya meningkat daripada RM25.53 juta pada 4QFY23 kepada RM130.33 juta pada 4QFY24.
Bagaimanapun, pengurusan Ibraco kekal proaktif dalam mencari projek bangunan dan infrastruktur tambahan daripada kedua-dua sektor awam dan swasta.
Katanya, sasaran untuk kemenangan kontrak pembinaan baharu pada FY25 ialah kira-kira RM600 hingga RM800 juta.
"Pendapatan masa hadapan disokong jualan tidak dibil sebanyak RM235 juta dan buku pesanan pembinaan tertunggak sebanyak RM1 billion," katanya.- DagangNews.com








