Untung bersih Ibraco meningkat lebih dua kali ganda kepada RM21.5 juta pada 4QFY24 dipacu kemajuan segmen pembinaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Ibraco meningkat lebih dua kali ganda kepada RM21.5 juta pada 4QFY24 dipacu kemajuan segmen pembinaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Feb - Untung bersih Ibraco Bhd pada suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24) meningkat lebih dua kali ganda kepada RM21.5 juta berbanding RM9.9 juta pada suku sama tahun sebelumnya dipacu kemajuan dalam segmen pembinaan.

 

Kumpulan itu berkata, hasil bagi suku berkenaan juga melonjak kepada RM236.5 juta berbanding RM105.4 juta pada 4QFY23.

 

Katanya, pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh segmen pembinaan, yang pendapatannya meningkat daripada RM25.53 juta pada 4QFY23 kepada RM130.33 juta pada 4QFY24.

 

Pertumbuhan itu turut disumbangkan segmen hartanah, yang melaporkan pendapatan RM91.49 juta pada suku ini berbanding RM69.68 juta pada suku yang sama tahun lepas

 

"Pendapatan lain terdiri daripada keuntungan nilai saksama ke atas hartanah pelaburan, pendapatan sewa yang diperoleh daripada hartanah tidak terjual, pendapatan dividen dan pendapatan faedah yang diperoleh daripada penempatan jangka pendek.

 

"Selain itu ia turut disumbangkan keuntungan daripada pelupusan hartanah, kilang dan peralatan, pembalikan rosot nilai, yuran dokumen tender dan caj pentadbiran untuk sub-jualan dan pembiayaan semula oleh pembeli," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Untung bersih kumpulan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) meningkat kepada RM48.3 juta berbanding RM46.03 juta dengan hasil melonjak kepada RM562.8 juta berbanding RM391.9 juta pada FY23.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu optimis terhadap pemulihan ekonomi pada 2025 dan yakin dengan keupayaannya untuk kekal berdaya tahan walaupun berdepan pasaran hartanah tempatan yang mencabar, peningkatan kos sara hidup dan kadar faedah yang tinggi.

 

Kumpulan akan terus memantau permintaan pasaran dan mengamalkan pendekatan berhemat berkenaan dengan sebarang pelancaran projek baharu.

 

"Bagi sektor pembinaan, kumpulan itu akan terus aktif membida projek pembinaan dan infrastruktur kerajaan bagi mengukuhkan sumber pendapatan di tengah-tengah sentimen pasaran hartanah semasa," katanya.- DagangNews.com