KUALA LUMPUR 4 Feb - Pelaksanaan pelan pembukaan cawangan runcit baharu di seluruh negara, disokong oleh penambahan kemudahan gudang, dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan Teamstar Bhd dalam tempoh sederhana hingga panjang, menurut PublicInvest.
Firma penyelidikan itu berkata, langkah strategik itu bukan sahaja bertujuan memperluas liputan pasaran kumpulan, malah dijangka meningkatkan kecekapan rantaian bekalan serta kemudahan akses pelanggan, sekali gus menyokong penskalaan operasi secara mampan.
"Selain inisiatif dalaman syarikat, prospek industri penambahbaikan kediaman yang kekal positif turut memberikan sokongan kukuh kepada pertumbuhan kumpulan.
"Peningkatan tahap pendapatan isi rumah, pasaran hartanah yang berdaya tahan serta perubahan keutamaan pengguna ke arah naik taraf gaya hidup dijangka terus merangsang permintaan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut PublicInvest, trend pengguna yang semakin menekankan pengoptimuman ruang, estetika dan elemen kelestarian dalam kediaman masing-masing dilihat selari dengan penawaran produk dan perkhidmatan Kumpulan, sekali gus meletakkan Teamstar pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam persekitaran pasaran semasa.
Artikel Berkaitan: Teamstar lancar IPO di Pasaran ACE, sasar kutip RM34.32 juta pada harga 26 sen sesaham
Menurut PublicInvest, kumpulan penyedia penyelesaian penambahbaikan kediaman itu mempunyai kira-kira 30 tahun pengalaman dalam industri dengan rangkaian 29 cawangan runcit, dua kilang dan sembilan gudang di seluruh Semenanjung Malaysia setakat 31 Disember 2025.
Infrastruktur ini membolehkan Teamstar mengekalkan keterlihatan jenama yang kukuh, akses pasaran yang luas serta skala operasi yang mampan.
Katanya, dari segi penawaran, Teamstar mengendalikan sekitar 27,800 unit penyimpanan stok (SKU) merangkumi segmen runcit, dagangan dan perkhidmatan nilai tambah.
Portfolio tersebut melibatkan 11 jenama dalaman dan 60 jenama pihak ketiga, sekali gus membolehkan syarikat menawarkan kemudahan sehenti serta pilihan produk yang menyeluruh kepada pelanggan.
Prospek industri penambahbaikan kediaman kekal positif, dengan pasaran Malaysia dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 4.4% kepada RM59.2 bilion menjelang 2029.
Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan pendapatan, kenaikan gaji minimum, perubahan gaya hidup, pasaran hartanah yang berdaya tahan serta inisiatif pembaharuan bandar.
Permintaan turut disokong oleh aktiviti pengubahsuaian, pembentukan semula dan naik taraf kediaman berfokuskan kelestarian.
Dari sudut penilaian, PublicInvest berkata, nilai saksama Teamstar dianggarkan pada RM0.32 sesaham, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 12 kali bagi tahun kewangan 2026 (FY26F).
Penilaian ini mewakili diskaun kira-kira 50% berbanding purata wajaran PER rakan setara sekitar 24 kali, mengambil kira permodalan pasaran syarikat yang lebih kecil.
Penganalisis percaya diskaun tersebut adalah munasabah dan disokong oleh potensi pertumbuhan pendapatan hasil pengembangan pangkalan pelanggan serta penambahan SKU produk. - DagangNews.com








