Teamstar lancar IPO di Pasaran ACE, sasar kutip RM34.32 juta pada harga 26 sen sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Teamstar lancar IPO di Pasaran ACE, sasar kutip RM34.32 juta pada harga 26 sen sesaham

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 JanTeamstar Berhad melancarkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia dijadualkan pada 25 Februari 2026.


Kumpulan peruncitan dan perdagangan kelengkapan perabot, perkakasan, peralatan dapur dan rumah, serta perkhidmatan nilai tambah itu, menyasarkan untuk dapat mengumpul hasil kasar RM34.32 juta.


IPO tersebut melibatkan terbitan 132 juta saham baharu dan tawaran penjualan 72 juta saham sedia ada, mewakili 25.5% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 800 juta saham.


"Harga IPO ditetapkan pada 26 sen sesaham, sekali gus dijangka memberi Teamstar permodalan pasaran secara indikatif kira-kira RM208 juta," kata kumpulan berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.


Daripada 132 juta saham terbitan baharu, sebanyak 40 juta saham diperuntukkan kepada pelabur awam warga Malaysia, manakala selebihnya melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera.


Senarai pelabur berkenaan perlu diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), manakala tempoh langganan IPO dibuka mulai 27 Januari 2026 dan akan ditutup pada 9 Februari 2026.


Hasil IPO tersebut kata Teamstar, akan digunakan terutamanya bagi aktiviti pengembangan rangkaian perniagaan, dengan RM23.21 juta diperuntukkan untuk penubuhan cawangan runcit dan gudang baharu, 


"Lebihan daripada dana berkenaan akan dimanfaatkan untuk keperluan modal kerja, pembayaran balik pinjaman serta kos penyenaraian saham syarikat itu di Bursa Malaysia," jelas kumpulan tersebut.


Tambahnya, Teamstar pada ketika ini mengendalikan 29 cawangan runcit di seluruh Semenanjung Malaysia dan memasarkan lebih 27,800 unit stok produk, termasuk 11 jenama dalaman berdaftar.


Sementara itu, Pengerusi Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Lee Kueng berkata, penyenaraian ini menandakan fasa baharu pertumbuhan syarikat sejak ditubuhkan pada 1996.


Perkembangan ini juga sejajar dengan prospek positif industri penambahbaikan kediaman di Malaysia, dengan kumpulan itu memiliki lima anak syarikat termasuk DG Materials, Best-Can dan Benova.


“Dengan IPO ini, kami merancang untuk membuka 10 lagi cawangan baharu termasuk di Johor, Kedah, Pulau Pinang serta Sabah dan Sarawak, yang menandakan kemasukan kami secara meluas,” katanya.


Prestasi kewangan Teamstar turut mencatat pertumbuhan kukuh, dengan hasil naik daripada RM91.31 juta pada 2022 kepada RM130.22 juta pada 2024, manakala kadar pertumbuhan purata diunjur 30.5%.


TA Securities Holdings Berhad dilantik untuk bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi IPO berkenaan. - DagangNews.com