KUALA LUMPUR 17 Jun - Pelaksanaan reformasi cukai adalah satu keperluan walaupun kerajaan berdepan dengan 'dilema' kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, reformasi itu perlu dilakukan bagi menangani kos yang timbul akibat cabaran baharu yang sedang dihadapi negara.
"Saya katakan ini satu dilema dan memetik semula kata-kata Hamlet; ‘Untuk mengenakan cukai atau tidak’.
"Namun, kita perlu meluaskan asas hasil bagi memastikan perkhidmatan awam, pendidikan dan reformasi kesihatan dapat diteruskan.
"Cabaran baharu seperti teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan pendigitalan – semuanya memerlukan dana dan peruntukan yang lebih besar. Tetapi tiada siapa yang mahu membayar, termasuk golongan maha kaya,” katanya ketika melancarkan Digital Asset Sandbox dan Simposium Sasana 2025 hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, reformasi cukai diperlukan kerana ia dapat meluaskan asas hasil bagi mempertingkatkan usaha penguatkuasaan serta menangani ketirisan tanpa membebankan golongan miskin.
Dalam satu kenyataan pada 9 Jun, Kementerian Kewangan mengumumkan, kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang telah disemak dan diperluas akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.
Langkah tersebut bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian, kata kementerian itu.
Pengumuman tersebut bagaimanapun menerima bantahan daripada beberapa pihak yang menggesa agar pelaksanaannya ditangguhkan, dengan alasan langkah itu boleh memburukkan lagi kos sara hidup dan menambah tekanan terhadap perniagaan kecil dalam keadaan ekonomi yang masih rapuh.
Dalam isu berasingan, Anwar berkata satu jawatankuasa menteri bersama telah ditubuhkan baru-baru ini untuk meneliti reformasi dalam sistem penjagaan kesihatan negara bagi memastikan perkhidmatan kesihatan swasta yang mampu milik dan mudah diakses oleh rakyat.
“Bagi ramai rakyat Malaysia, penjagaan kesihatan swasta semakin sukar diakses akibat kos perubatan yang meningkat dan inflasi. Ini bukan sahaja isu yang membimbangkan, malah ia juga menyentuh soal kesejahteraan negara,” katanya.
Jawatankuasa tersebut, yang terdiri daripada wakil Bank Negara, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan, akan meneliti penyelesaian konkrit jangka panjang.
Anwar memberi jaminan, jawatankuasa bersama itu akan melaksanakan reformasi yang dirancang, tidak seperti cubaan jawatankuasa terdahulu yang tidak berjaya.
Beliau berkata, kerajaan mesti melangkaui perubahan bersifat simbolik untuk melaksanakan reformasi bagi memastikan penjagaan kesihatan swasta yang mampu milik dan mudah diakses.
Mengenai rasionalisasi subsidi, Anwar berkata, ia bukan satu bentuk kemewahan sebaliknya satu keperluan negara walaupun tidak popular.
“Kita tidak ada pilihan, tetapi masalahnya ialah di satu pihak, terdapat desakan yang tidak sabar untuk melaksanakan reformasi besar-besaran. Di pihak yang lain pula, terdapat golongan ultra, konservatif baharu dan ahli politik yang terdesak yang akan menentang sebarang usaha untuk melaksanakan reformasi,” katanya.
Beliau berkata, naratif negatif seperti itu berleluasa di media sosial dan lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk menjelaskan keperluan langkah rasionalisasi subsidi.- DagangNews.com








