KUALA LUMPUR 18 Jun – Seramai 59 pelajar Program Pengurusan dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) jayakan projek komuniti RimbaSoul 2025 di Taman Eko Rimba Lubuk Yu, Maran, Pahang.
Projek tersebut dilaksanakan menerusi pendekatan Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang menggabungkan pelancongan lestari, pemeliharaan alam sekitar, dan pembangunan sosioekonomi bersama komuniti setempat.

Pengarah projek, Amirul berkata, pengalaman bekerjasama secara langsung dengan komuniti memberi peluang kepada pelajar menerapkan pengetahuan akademik dalam situasi sebenar, sekali gus memupuk kemahiran insaniah seperti komunikasi, kerja berpasukan, dan kepimpinan.
"Projek ini bukan sekadar satu pengalaman pembelajaran, tetapi juga mencerminkan peranan kami sebagai pemangkin perubahan yang menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan pembangunan komuniti," katanya dalam satu kenyataan.

Sepanjang program, para pelajar merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk aktiviti cabaran 'explorace' bersama komuniti, pameran teknik asas ekspedisi hutan, pendokumentasian flora dan fauna serta pembangunan buku digital eko-pelancongan.

RimbaSoul 2025 turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk wakil Pegawai Daerah Maran, Datuk Khairun Nissa, Perbadanan Taman Negeri Pahang, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Majlis Daerah Maran, Penghulu Mukim Chenor serta organisasi seperti Hugs Project dan Embrace Malaysia.
Turut dilaksanakan ialah pemasangan kod QR bagi memudahkan pengunjung mendapatkan maklumat pelancongan di kawasan tersebut.

Kemuncak projek berlangsung pada 14 Jun 2025, menyaksikan penyertaan pelbagai agensi tempatan dan komuniti dalam usaha mempromosikan Taman Eko Rimba Lubuk Yu sebagai destinasi eko-pelancongan berpotensi tinggi di daerah Maran.
Inisiatif itu turut menerima tajaan daripada agensi kerajaan, syarikat tempatan, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Tourism Malaysia, Embrace Malaysia, Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd, Jerai Strawberry Farm, Jabatan Pembangunan, dan Pengurusan Fasiliti USIM serta Ribhan World Sdn Bhd.- DagangNews.com








