KUALA LUMPUR 18 Nov – Malaysia terus mencatat kedudukan kukuh sebagai destinasi pelaburan serantau apabila berjaya menarik RM285.2 bilion pelaburan yang diluluskan bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025, meningkat 13.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
MIDA memaklumkan, sebanyak 4,874 projek telah diluluskan merentasi sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer, yang dijangka mewujudkan 152,766 peluang pekerjaan baharu.
“Data ini mencerminkan keluasan minat pelabur terhadap ekonomi Malaysia merentasi pelbagai sektor bernilai tinggi,” katanya.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyifatkan pencapaian tersebut sebagai bukti keberkesanan strategi ekonomi negara.
“RM285.2 bilion dalam tempoh sembilan bulan adalah pencapaian luar biasa. Ketika aliran modal global mengecil, Malaysia terus menarik pelaburan berkualiti pada skala besar. Ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik dan hala tuju ekonomi kita,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menegaskan, Malaysia kini bukan sahaja menjadi pilihan utama pelabur global dalam menilai peluang di Asia Tenggara, malah sedang “menetapkan penanda aras baharu” dalam ekosistem pelaburan serantau.
“Pelaksanaan misi utama di bawah NIMP 2030 telah mula memperlihatkan hasil nyata, bukan sahaja dalam menarik pelaburan bernilai tinggi, tetapi juga peluang pekerjaan dan peningkatan kemahiran tenaga kerja untuk menyokong peralihan kepada ekonomi berasaskan pengetahuan,” jelasnya.
Daripada keseluruhan pelaburan yang diluluskan, sektor perkhidmatan menyumbang RM187.9 bilion atau 65.9%, diikuti sektor pembuatan sebanyak RM93.8 bilion atau 32.9%, manakala sektor primer menyumbang RM3.5 bilion atau 1.2%.
Singapura muncul sebagai penyumbang terbesar pelaburan asing dengan RM52.7 bilion, diikuti China (RM35.8 bilion), Amerika Syarikat (RM11.3 bilion), British Virgin Islands (RM6.6 bilion) dan Jepun (RM4.8 bilion).
Johor kekal sebagai negeri paling berprestasi dengan RM91.1 bilion pelaburan diluluskan, disusuli Selangor (RM51.9 bilion), Kuala Lumpur (RM45.9 bilion), Pulau Pinang (RM23.7 bilion) dan Kedah (RM17.5 bilion).
Setakat 9 November, MIDA sedang memudah cara 192 projek berpotensi bernilai RM39.0 bilion, merangkumi 119 projek perkhidmatan bernilai RM24.4 bilion dan 73 projek pembuatan bernilai RM14.6 bilion.
Selain itu, MIDA sedang dalam rundingan awal melibatkan RM39.4 bilion pelaburan berimpak tinggi, satu petanda berterusan bahawa sentimen pelabur kekal positif terhadap dasar pro-perniagaan Malaysia.
Antara 2021 hingga September 2025, sebanyak 85% projek pembuatan telahpun dilaksanakan, merangkumi operasi pengeluaran berskala penuh, pembinaan kilang serta pemasangan mesin dan peralatan. - DagangNews.com








