KUALA LUMPUR 30 Jun - Selepas lima minggu menjadi penjual bersih, pelabur asing kembali membeli ekuiti tempatan sebanyak RM33.2 juta, kata MIDF Research.
Katanya, aktiviti pelabur asing adalah bercampur sepanjang minggu dengan pembelian bersih dicatatkan pada Selasa dan Khamis, manakala Isnin dan Rabu menyaksikan aliran keluar bersih.
Firma penyelidikan itu berkata, aliran masuk adalah antara RM5 juta hingga RM144.1 juta, manakala aliran keluar berada antara RM50.7 juta hingga RM65.2 juta.
"Tiga sektor yang mencatat aliran masuk bersih pelabur asing tertinggi ialah utiliti (RM102.6 juta), pengangkutan & logistik (RM45.9 juta) dan produk & perkhidmatan perindustrian (RM22.9 juta).
"Tiga sektor teratas yang mencatat aliran keluar bersih pelabur asing tertinggi pula ialah perkhidmatan kewangan (RM109.9 juta), hartanah (RM35.9 juta) dan telekomunikasi & media (RM28.0 juta)," katanya dalam laporan aliran dana, hari ini.
MIDF Research berkata, institusi tempatan meneruskan aktiviti pembelian mereka, memasuki minggu keenam berturut-turut dengan aliran masuk bersih sebanyak RM142.8 juta, lebih rendah berbanding aliran masuk minggu sebelumnya sebanyak RM510.6 juta.
Sementara itu, peruncit tempatan kembali menjadi penjual bersih kepada pelabur asing minggu lalu, dengan mencatat aliran keluar bersih sebanyak RM176.0 juta, sekali gus menamatkan aliran masuk selama seminggu mereka.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatat peningkatan secara menyeluruh minggu lalu, kecuali bagi pelabur asing.
Peruncit tempatan dan institusi tempatan mencatat peningkatan masing-masing sebanyak 12.7% dan 9.7%, manakala pelabur asing mencatat penurunan sebanyak 17%. - DagangNews.com








