KUALA LUMPUR 3 Mac - Pelabur asing kekal menjadi penjual bersih di Bursa Malaysia buat minggu ke-19 berturut-turut dengan mencatatkan aliran keluar bersih lebih besar sebanyak RM1.27 bilion berbanding RM562 juta pada minggu sebelumnya.
MIDF Research berkata, tekanan jualan pelabur asing berterusan sepanjang minggu, dengan Jumaat menyaksikan aliran keluar paling tinggi iaitu RM646.2 juta.
Antara sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih ialah pembinaan (RM24.1 juta), Telekomunikasi & Media (RM14.7 juta) dan REIT (RM6.7 juta).
"Sementara itu, tiga sektor teratas yang mencatat aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM362.1 juta), produk & perkhidmatan pengguna(RM314.9 juta) dan utiliti (RM255.1 juta)," katanya dalam laporan aliran dana berakhir pada 28 Februari 2025.
Firma penyelidikan itu berkata, institusi tempatan kekal sebagai tonggak sokongan, menandakan pembelian bersih minggu kesembilan belas berturut-turut mereka, dengan aliran masuk besar RM817.4 juta ke dalam ekuiti domestik, meningkat daripada aliran masuk RM316.3 juta pada minggu sebelumnya.
Pelabur runcit tempatan meneruskan rentetan belian bersih mereka untuk minggu ketiga berturut-turut, mencatat aliran masuk bersih RM447.9 juta, peningkatan ketara daripada RM245.7 juta minggu lepas.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menyaksikan peningkatan secara meluas. Pelabur asing mengalami lonjakan mendadak sebanyak 80.3%, manakala institusi tempatan menyaksikan peningkatan sebanyak 5.8%.
Sementara itu, pelabur runcit tempatan mencatatkan penurunan sederhana sebanyak 1.6%.- DagangNews.com








