Pekat Group raih kontrak sistem perlindungan kilat dan pembumian pusat data bernilai RM33.8 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pekat Group raih kontrak sistem perlindungan kilat dan pembumian pusat data bernilai RM33.8 juta

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 20 NovPekat Group Bhd terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen perlindungan kilat dan pembumian apabila memperoleh kontrak bernilai RM33.8 juta daripada Gamuda Engineering Sdn Bhd bagi projek pusat data hyperscale di Eco Business Park V, Puncak Alam, Selangor.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata kontrak berkenaan dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuh, Pekat E & LP Sdn Bhd, merangkumi kerja-kerja pembinaan, ujian, pentauliahan dan penyiapan operasi bagi sistem pembumian dan perlindungan kilat. 

 

Skop merentasi kawasan kritikal termasuk data hall, mechanical & electrical yard serta offshore development centre hub.

 

Mengikut jadual projek, Fasiliti 1 dijangka siap sepenuhnya pada 16 Disember 2026, manakala penyiapan substantif ditetapkan pada 28 Februari 2027.

 

Bagi Fasiliti 2, tarikh siap penuh ialah 15 April 2027, dengan penyiapan substantif pada 1 September 2027. 

 

Tempoh liabiliti kecacatan pula ialah 36 bulan bagi Fasiliti 1 dan 30 bulan bagi Fasiliti 2.
Pekat perlu mengemukakan bon prestasi RM1.69 juta serta menyediakan perlindungan insurans yang diperlukan. 

 

Kelewatan menyiapkan kerja boleh mengakibatkan ganti rugi kelewatan RM50,000 sehari, dengan had maksimum sehingga 20% daripada nilai subkontrak, bersamaan RM6.76 juta.

 

Di pasaran saham, prestasi Pekat turut menunjukkan momentum positif. 

 

Saham syarikat itu meningkat 0.62% kepada RM1.62 sesaham pada Khamis, meletakkan nilai pasaran pada RM1.14 bilion. 

 

Setakat tahun ini, saham Pekat melonjak 63.64%. - DagangNews.com