KUALA LUMPUR 4 Nov – Malaysia mempunyai hak untuk menamatkan Agreement on Reciprocal Trade (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) pada bila-bila masa melalui notis bertulis tanpa memerlukan persetujuan daripada pihak AS, menurut kenyataan Pejabat Peguam Negara (AGC).
Dalam satu kenyataan, AGC memaklumkan perkara ini diperuntukkan di bawah Artikel 7.5 ART, yang turut menegaskan bahawa semua perlindungan di bawah perjanjian tersebut bertujuan untuk mempertahankan dan memelihara kedaulatan Malaysia serta melindungi kepentingan negara pada setiap masa.
Kenyataan itu menjelaskan, ART hanya akan berkuat kuasa 60 hari selepas kedua-dua pihak menukar notifikasi bertulis yang mengesahkan prosedur undang-undang domestik masing-masing telah diselesaikan.
“Pelaksanaan tanggungjawab dan komitmen di bawah perjanjian ini oleh Malaysia tertakluk kepada undang-undang dan prosedur domestik Malaysia yang berkuat kuasa,” menurut AGC.
ART juga memperuntukkan rundingan secara niat baik antara Malaysia dan AS berhubung isu pelaksanaan sebelum mana-mana pihak boleh mengambil tindakan terhadap pihak yang lain.
Bagaimanapun, berdasarkan Artikel 7.1, Malaysia dan AS, sebagai negara anggota Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), akan terus mengiktiraf hak, tanggungjawab dan perlindungan yang ditetapkan di bawah perjanjian WTO bagi perdagangan antarabangsa.
Malaysia dan AS menandatangani ART pada 26 Oktober semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
Perjanjian itu merupakan cadangan AS untuk merunding semula kadar tarif ke atas Malaysia daripada 25% kepada 19%, di bawah Executive Order 14257 yang dikeluarkan oleh Presiden AS, Donald Trump, pada 2 April 2025.
Rundingan tersebut diketuai oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi pihak Malaysia, manakala AS diwakili oleh Office of the United States Trade Representative.
MITI turut melibatkan kementerian dan agensi berkaitan dalam rundingan tersebut, dan keputusan dasar mengenai ART dibuat oleh Jemaah Menteri selepas menimbangkan aspek ekonomi, politik dan perundangan. - BERNAMA








