PayNet lantik Praveen Rajan sebagai CEO baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PayNet lantik Praveen Rajan sebagai CEO baharu

Praveen Rajan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Feb – Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), pengendali sistem pembayaran DuitNow QR, melantik Praveen Rajan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu berkuat kuasa 1 Februari 2026.

 

Beliau menggantikan Farhan Ahmad yang meletak jawatan pada 31 Januari 2026, sebagai sebahagian daripada peralihan kepimpinan yang dirancang oleh syarikat.

 

Praveen berkata beliau akan membina kekuatan sedia ada syarikat dengan pelaksanaan lebih teratur dan jelas, meningkatkan ketahanan operasi serta memperkukuh penglibatan dengan pemain industri dan rakan kongsi di sektor utama bagi memacu ekonomi digital Malaysia. 

 

“Paling penting adalah meneruskan kesinambungan projek sedia ada serta peranan pasukan PayNet yang komited dalam memastikan transisi berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sebelum menyertai PayNet, Praveen merupakan ketua pegawai perniagaan pengguna di CelcomDigi Bhd, dengan pengalaman luas dalam mengurus perkhidmatan digital dan pembayaran elektronik.

 

Ditubuhkan pada 2017, PayNet memainkan peranan penting dalam sistem kewangan negara dan kehidupan seharian rakyat Malaysia melalui pelbagai infrastruktur pembayaran, termasuk sistem DuitNow QR. 

 

Syarikat ini dimiliki 35.5% oleh Bank Negara Malaysia dan 11 institusi kewangan tempatan lain, termasuk Malayan Banking Bhd, bank terbesar mengikut aset di negara ini.

 

Tambahnya, PayNet memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia dan sistem kewangan negara. 

 

“Sepanjang dua bulan lepas, saya telah bekerjasama rapat dengan pasukan yang komited dan saya melangkah ke peranan ini dengan penghormatan mendalam terhadap kerja yang sedang dijalankan,” kata Praveen.

 

Dengan pengalaman luas dalam sektor telekomunikasi dan pembayaran digital, pelantikan Praveen dijangka akan memperkukuh kedudukan PayNet dalam memacu inovasi sistem pembayaran, sambil menyokong transformasi digital Malaysia ke arah ekonomi yang lebih berdaya saing. - DagangNews.com