Pasaran buruh Julai 2025 kekalkan pertumbuhan positif meningkat kepada 17.47 juta orang - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pasaran buruh Julai 2025 kekalkan pertumbuhan positif meningkat kepada 17.47 juta orang - DOSM

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 Sept - Pasaran buruh negara terus mengekalkan pertubuhan positif pada Julai 2025 dengan merekodkan peningkatan sebanyak 0.2 peratus kepada 17.47 juta orang berbanding 17.43 juta orang pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) hari ini.

 

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu didorong penambahbaikan berterusan dalam ekonomi domestik meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

 

 

uzir
Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin

 

 

"Kadar pengangguran pada Julai 2025 kekal 3.0 peratus iaitu 521,600 manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.8 peratus seperti Jun 2025.

 

”Di samping itu, bilangan penduduk bekerja terus berada dalam trend peningkatan pada Julai 2025, dengan kenaikan sebanyak 0.2 peratus merekodkan 16.95 juta orang (Jun  2025:  16.92  juta  orang)," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Katanya, bilangan penganggur pada bulan tersebut bertambah sebanyak 0.6 peratus kepada 521,000 (Jun 2025: 518,700 orang), dengan kadar pengangguran kekal pada 3.0 peratus, tidak berubah daripada bulan sebelumnya.

 

Mohd Uzir berkata, 75.0 peratus daripada jumlah penduduk bekerja pada Julai 2025 adalah terdiri daripada kategori pekerja.  

 

"Kategori ini naik sedikit kepada 12.71 juta orang pada Julai 2025, dengan peningkatan marginal 0.1 peratus (Jun 2025: 12.69 juta orang)," katanya.

 

Selain itu, bilangan penduduk bekerja sendiri juga menunjukkan pertambahan sebanyak 0.4 peratus kepada 3.21 juta orang, berbanding 3.20 juta orang pada bulan sebelumnya.

 

Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada Julai 2025, Mohd Uzir berkata, 79.8 peratus terdiri daripada mereka  yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, ataupenganggur aktif. 

 

"Bilangan penganggur aktif bertambah sebanyak 0.4 peratus kepada 416,200 berbanding 414,400 pada Jun 2025.

 

"Dalam  kumpulan ini, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan merangkumi 64.3 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun meliputi 5.1 peratus. 

 

"Begitu juga mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan yang tersedia, atau  penganggur tidak aktif, turut meningkat sebanyak 1.1 peratus kepada 105,500 orang berbanding Jun 2025 iaitu 104,300," katanya. - DagangNews.com