Pasaran buruh diyakini bertambah baik disokong inisiatif kerajaan, ekonomi domestik berdaya tahan - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pasaran buruh diyakini bertambah baik disokong inisiatif kerajaan, ekonomi domestik berdaya tahan - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Feb - Pasaran buruh Malaysia diyakini bertambah baik pada 2025 disokong inisiatif kerajaan, ekonomi domestik yang berdaya tahan dan sektor pelancongan yang teguh.

 

Kadar pengangguran dijangka menurun secara beransur-ansur, dengan penganalisis mengunjurkan julat antara 3% hingga 3.2% untuk tahun tersebut.

 

Bagaimanapun, risiko luaran seperti ketidaktentuan geopolitik dan potensi perubahan dalam dasar perdagangan global boleh mempengaruhi prospek.

 

TA Securities berkata, pasaran buruh ditetapkan untuk penambahbaikan selanjutnya, membina momentum daripada usaha kerajaan untuk memupuk pertumbuhan pekerjaan dan kestabilan ekonomi.

 

Mereka menjangkakan, kadar pengangguran berada pada purata 3.1% pada 2025, berpotensi mencapai 3% menjelang akhir tahun.

 

Firma penyelidikan itu juga menyatakan, dasar berkaitan gaji, termasuk kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 pada Februari 2025 akan menyokong kestabilan pekerjaan dan jaminan pendapatan.

 

"Ia menunjukkan kesan positif daripada perkembangan ekonomi yang lebih luas, seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan peningkatan pelaburan langsung asing, yang berkemungkinan merangsang pengembangan perniagaan dan penciptaan pekerjaan," katanya.

 

Sementara itu, BIMB Securities kekal optimis terhadap unjuran 2025 dengan pekerjaan meningkat secara berterusan dan pengangguran kekal rendah.

 

Katanya, kadar pengangguran diunjur kekal pada 3.2% yang sihat, mencerminkan pekerjaan hampir penuh.

 

Firma penyelidikan itu mengenal pasti sektor pembuatan, khususnya elektrik dan elektronik, dan sektor perkhidmatan sebagai pemacu utama pertumbuhan pekerjaan.

 

Industri pelancongan juga berkemungkinan melihat momentum kukuh, didorong ketersambungan penerbangan yang lebih baik, pemasaran yang disasarkan dan persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.

 

“Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia bakal menganjurkan acara berprofil tinggi, menarik kedua-dua pelancong dan perniagaan,” katanya.- DagangNews.com