Orkim tambah armada kapal tangki dan kekalkan kadar penggunaan tinggi 91% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Orkim tambah armada kapal tangki dan kekalkan kadar penggunaan tinggi 91%

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 26 OgosOrkim Berhad meneruskan strategi perluasan armada kapal tangki dan kadar penggunaan kekal tinggi pada 91%, bagi mengukuhkan kedudukan serta menyokong pertumbuhan hasil.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Cheah Sin Bi berkata, kapal baharu yang dalam perancangan akan meningkatkan kapasiti armada, selain meningkatkan lagi daya saing portfolio kapal syarikat tersebut.

 

Ujarnya, hubungan kukuh dengan pelanggan dan kontrak berulang memberikan asas pertumbuhan, sambil memberi tumpuan kepada penggunaan armada, kecekapan operasi dan pengurusan modal berhemat.

 

"Margin keuntungan kasar Orkim berada sekitar 32%, dengan kadar penggunaan armada hanya susut sedikit kepada kira-kira 91% daripada 92% yang pernah dicatatkan pada suku pertama," kata beliau.

 

Kumpulan itu jelasnya, mencatatkan keuntungan bersih RM22.91 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, berbanding RM24.11 juta pada suku pertama, manakala hasil kekal stabil pada RM87.34 juta

 

Tambah Sin Bi, armada kumpulan meningkat kepada sebanyak 19 kapal setakat akhir Jun 2026 berbanding 18 kapal pada akhir 2025, terdiri antaranya daripada 17 kapal tangki produk petroleum bersih (CPP). 

 

Orkim_DagangNews2026

 

Baki sebuah kapal pula mampu membawa bahan kimia, manakala dua kapal pengangkut gas petroleum cecair (LPG) turut berkhidmat ketika ini, sekali gus menjana perkembangan pendapatan lebih baik.

 

"Peningkatan jumah itu susulan penerimaan Orkim Garnet pada Mei 2026, sebuah kapal tangki 'IMO Type II' yang siap dibina pada 2026 dengan mampu membawa produk CPP serta bahan kimia," ujar beliau.

 

Penambahan kapal baharu berkenaan jelas Sin Bi, dijangka mampu meningkatkan lagi jumlah kapasiti pengangkutan kumpulan perkhidmatan perkapalan tersebut kepada 253,036 tan berat mati (DWT).

 

Bagi separuh pertama 2026 katanya, hasil meningkat 14.9% kepada RM175.4 juta, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) naik 5.8% kepada RM47.1 juta, dengan kadar penggunaan armada kekal sekitar 91%.

 

Segmen CPP terus menjadi penyumbang utama apabila hasil meningkat 17.2% kepada RM164.2 juta, manakala PBT bertambah 10% kepada kira-kira RM45.6 juta, disokong kapasiti armada yang lebih besar.

 

"Sebaliknya, perniagaan LPG mencatatkan prestasi yang lebih lemah dengan pendapatan menyusut 11.4% kepada RM11.1 juta dan PBT pula merosot sebanyak 51.3% kepada kira-kira RM1.5 juta," terangnya.

 

Perkembangan berkenaan ujar Sin Bi, terutamanya akibat kerja 'dry-docking' berjadual sebuah kapal serta pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). - DagangNews.com