KUALA LUMPUR 9 Okt - Orkim Bhd, syarikat pengangkutan marin, menerima keyakinan baharu daripada MARC Ratings Bhd yang mengekalkan penarafan AA-IS terhadap program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bernilai RM1 bilion, sambil menyemak prospek penarafan kepada Positif daripada Stabil.
MARC berkata semakan prospek ini mencerminkan keyakinan terhadap asas kukuh Orkim serta kedudukannya sebagai peneraju dalam pasaran pengangkutan produk petroleum bersih (clean petroleum product - CPP) domestik, disokong oleh trajektori pertumbuhan yang mampan.
Prospek lebih positif itu turut didorong oleh cadangan penstrukturan semula pemegang saham Orkim, yang akan menyaksikan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Dana Unit Amanah (UTF) kendaliannya muncul sebagai pemegang saham majoriti.
MARC menegaskan, perkembangan ini menandakan sokongan berterusan daripada institusi kukuh, sejajar dengan pelaksanaan Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) yang bertujuan memperkukuh syarikat berkaitan kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Orkim, Kapten Cheah Sin Bi berkata semakan positif tersebut mencerminkan keyakinan pasaran terhadap arah strategik dan disiplin operasi kumpulan itu.
“Kami amat berbesar hati dengan keputusan MARC menyemak prospek penarafan Orkim kepada Positif.
"Pengiktirafan ini mencerminkan kekuatan asas kami, strategi pertumbuhan yang berdisiplin serta keyakinan terhadap keupayaan Orkim untuk menjana nilai jangka panjang,” katanya.

Orkim merupakan penyedia utama perkhidmatan pengangkutan laut bagi produk CPP di Malaysia dan rantau ini.
Syarikat itu mengendalikan armada kapal yang pelbagai di bawah perjanjian sewaan jangka panjang bersama syarikat minyak utama, dengan tumpuan terhadap kecekapan operasi, pengurusan armada yang berhemat serta pertumbuhan mampan.
Kumpulan itu memiliki dan mengendalikan 17 kapal dengan jumlah kapasiti 189,187 tan berat mati (deadweight tonnes - DWT), terdiri daripada 14 kapal tangki CPP (134,684 DWT), sebuah kapal tangki CPP jarak sederhana (48,005 DWT), dan dua kapal tangki gas petroleum cecair (LPG) (6,498 DWT).
Armada ini beroperasi di bawah pelbagai perjanjian sewaan, melayani syarikat minyak dan gas utama di Malaysia serta beberapa negara Asia termasuk Singapura, Filipina, Brunei, China dan Korea Selatan.
Semakan prospek oleh MARC ini hadir ketika Orkim terus memperkukuh kedudukan dalam logistik maritim serantau sambil menyokong usaha nasional mempertingkat daya saing serta tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan. - DagangNews.com








