One Gasmaster fail permohonan IPO di Pasaran ACE bagi tujuan pengembangan, keperluan modal kerja | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

One Gasmaster fail permohonan IPO di Pasaran ACE bagi tujuan pengembangan, keperluan modal kerja

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Julai - Penyedia perkhidmatan pemantauan alam sekitar, pengesanan gas dan pemasangan paip gas, One Gasmaster Holdings Bhd merancang mengumpul dana melalui tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi tujuan pengembangan dan keperluan modal kerja.

 

Menurut draf prospektus yang difailkan kepada Bursa Malaysia, cadangan IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 77.5 juta saham yang mewakili 25% daripada jumlah saham terbitan selepas penambahan, serta tawaran untuk penjualan sebanyak 15.5 juta saham sedia ada pada harga yang akan ditentukan kemudian.

 

Di bawah cadangan terbitan awam itu, kumpulan itu telah memperuntukkan 15.5 juta saham baharu untuk orang awam, 3.1 juta saham untuk individu yang layak dan 58.9 juta saham kepada pelabur terpilih melalui penempatan khas.

 

Beribu pejabat di Taman Teknologi Sunway Damansara, kumpulan itu telah diasaskan bersama oleh Ivan Tan Kean Yok dan IPSH Sdn Bhd pada 31 Disember 1997. 

 

Selepas itu, IPSH telah menjual keseluruhan pegangan sahamnya dalam One Gasmaster kepada Kean Yok dan isterinya, Tan Bee Sien.

 

Kean Yok merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat.

 

Bee Sien akan menjual sebahagian daripada pegangan sahamnya di bawah tawaran untuk penjualan, mengurangkan pemilikannya kepada 5.2% daripada 13.6% pada masa ini.

 

Kumpulan itu terlibat secara utama dalam pemantauan alam sekitar, pengesanan gas dan pemasangan paip gas, serta perkhidmatan kebersihan industri.

 

Mereka juga menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan penentukuran melalui makmal penentukurannya yang diperakui ISO/IEC 17025, bagi memastikan prestasi sistem yang tepat dan boleh dipercayai.

 

Selain itu, syarikat itu turut menjalankan perdagangan produk termasuk instrumen, alat ganti dan komponen.

 

Syarikat itu menyediakan perkhidmatan kepada pelbagai pelanggan daripada pelbagai industri pengguna akhir, termasuk minyak dan gas, penjanaan kuasa, pembuatan, perkhidmatan makanan dan minuman serta sektor kimia.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24), syarikat mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM5.56 juta daripada hasil sebanyak RM38 juta, dengan sebahagian besar disumbangkan oleh pasaran domestik.

 

Margin untung bersih syarikat berada pada paras 14.64% pada FY24, meningkat daripada 13.12% pada FY23 dan 11.96% pada FY22.

 

Malacca Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan tunggal bagi IPO ini.- DagangNews.com