KUALA LUMPUR 21 Mac - OCI TerraSus Sdn. Bhd. bersedia membekalkan polysilicon solar gred tinggi kepada OCI Holdings susulan pelaburan RM1.17 bilion oleh syarikat induk tersebut bagi pembinaan sebuah kilang pengeluaran sel solar baharu di Amerika Syarikat (AS).
Projek OCI Holdings tersebut dilaksanakan melalui anak syarikatnya, Mission Solar Energy (MSE).
Polysilicon solar gred tinggi oleh OCI TerraSus dihasilkan menggunakan tenaga hidroelektrik boleh diperbaharui di kilangnya yang terletak di Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu, Sarawak.
Sebagai anak syarikat OCI Holdings, OCI TerraSus mengeluarkan polysilicon solar gred tinggi dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 35,000 tan metrik.
Kepakarannya dalam proses pembuatan canggih memastikan syarikat kekal sebagai pembekal utama dalam rantaian bekalan global wafer silikon dan sel fotovoltaik.

OCI Holdings pula merancang untuk memulakan pengeluaran komersial sel solar pada separuh pertama tahun 2026, dengan pengembangan pada separuh kedua tahun sama.
Dengan menghubungkan polysilicon daripada OCI TerraSus dengan kemudahan pembuatan sel solar baharu itu, OCI Holdings bakal mewujudkan rantaian bekalan solar yang sepenuhnya bukan dari China, yang seterusnya mengukuhkan peranan Malaysia dalam pasaran tenaga bersih global.
Pengerusi OCI Holdings, Lee WooHyun berkata, anak syarikat sel solar baharu tersebut akan memajukan kedudukan OCI Holdings di pasaran AS dan meningkatkan daya saing global OCI TerraSus.
"Polysilicon solar gred tinggi kami dari Malaysia akan menjadi asas kepada rantaian bekalan solar bersih ini, memenuhi permintaan tenaga mampan yang semakin meningkat di AS dan mengukuhkan peranan OCI TerraSus sebagai peneraju dalam industri solar," katanya dalam satu kenyataan.
OCI TerraSus tetap komited untuk berinovasi dalam pengeluaran polysilicon seiring dengan permintaan tenaga solar yang semakin meningkat di seluruh dunia.
Ini termasuk memastikan syarikat dilengkapi dengan proses pembuatan canggih, memastikan kualiti dan kecekapan yang tinggi, serta mengukuhkan lagi peranan OCI TerraSus sebagai antara peneraju dalam peralihan ke arah tenaga bersih dan boleh diperbaharui.
OCI TerraSus akan terus berusaha untuk memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju global dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dengan melabur dalam teknologi terkini dan memanfaatkan kelebihan strategik Sarawak dan Malaysia, termasuk sokongan kerajaan yang kukuh, tenaga kerja yang terlatih, kemudahan yang mantap dan sumber tenaga mampan. - DagangNews.com








