Norway batal eksport misil: Kerajaan teruskan usaha diplomatik sambil teliti tindakan undang-undang sesuai | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Norway batal eksport misil: Kerajaan teruskan usaha diplomatik sambil teliti tindakan undang-undang sesuai

Gambar Hiasan
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 13 Mei - Kerajaan akan meneruskan tindakan melalui saluran diplomatik sambil turut mempertimbangkan tindakan undang-undang yang bersesuaian susulan keputusan Norway menghentikan eksport peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) yang telah dipersetujui kepada Malaysia, kata jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil.

 

Beliau berkata perkara tersebut telah dibincangkan dalam perbualan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Norway pada 12 Mei lalu.

 

“Kerajaan akan meneruskan langkah melalui saluran diplomatik sambil turut meneliti aspek perundangan berkaitan,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

 

Menurut beliau, Malaysia amat kesal dengan keputusan saat akhir kerajaan Norway yang tidak meluluskan permit eksport bagi perolehan tersebut, sekali gus menghalang syarikat terlibat daripada meneruskan penghantaran seperti yang dipersetujui.

 

Fahmi memaklumkan kontrak berkenaan telah dimeterai sejak 2018 dan dilaksanakan mengikut jadual tanpa sebarang isu, termasuk semua bayaran yang telah diselesaikan.

 

“Kerajaan Malaysia tidak boleh menerima alasan yang diberikan oleh kerajaan Norway,” tegasnya.

 

Beliau turut menegaskan pelaksanaan Pelan Pertahanan Negara adalah kepentingan strategik negara yang tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.

 

Mengulas lanjut, Fahmi berkata Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa isu tersebut tidak melibatkan syarikat pembekal, sebaliknya berpunca daripada keputusan kerajaan Norway yang tidak mengeluarkan permit eksport pada saat akhir.

 

“Keputusan tersebut dibuat selepas semua bayaran dibuat mengikut jadual, dan ini amat mengecewakan serta dikesali,” katanya.

 

Beliau menambah bahawa isu kemungkinan pampasan kepada Malaysia turut dibangkitkan dalam perbincangan antara Perdana Menteri dengan rakan sejawat Norway, namun perkara itu masih dalam penelitian lanjut.

 

“Perkara ini akan dibincangkan dan diperhalusi dari semasa ke semasa,” katanya lagi. - DagangNews.com