KUALA LUMPUR 30 Jun – Niche Capital Emas Holdings Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Niche Capital Mining (Sejana) Sdn Bhd, meterai perjanjian usahasama dengan Enrich Mining Sdn Bhd bagi membangunkan perlombongan emas di kawasan seluas 97.12 hektar di Mukim Lubok Bongor, Jeli, Kelantan.
Perjanjian itu susulan Memorandum Persefahaman (MoU) sebelum ini dan menjadi langkah penting dalam usaha Niche memperluas portfolio perlombongan emasnya, malahan ia akan berlangsung selama lima tahun.

Kawasan perlombongan yang dikenali sebagai KK Hill itu telah disahkan secara bebas oleh RSC Consulting Ltd dengan anggaran sumber mineral sebanyak 7.64 juta tan bijih pada gred purata 0.69 gram bagi setiap tan, bersamaan kira-kira 169,300 auns troy emas berdasarkan Kod JORC (2012).
Anggaran sumber mineral berdasarkan aliran proses dan pengoptimuman pit mengesahkan 169,300 auns emas selepas mengambil kira pencairan, sudut cerun pit dan harga emas AS$2,284 per auns (RM9,656).
"KK Hill dan tapak perlombongan Sokor terletak dalam Jalur Emas Tengah, iaitu zon geologi utama yang kaya dengan emas dan menjadi tumpuan utama perlombongan emas komersial di Malaysia, meliputi negeri Kelantan, Terengganu, dan Pahang.
"Di tapak Sokor, kemudahan peluluhawaan timbunan kini dalam fasa ujian akhir dengan sistem loji sedang diuji sebelum memulakan pengeluaran penuh.

"Tapak KK Hill terletak bersebelahan dengan operasi semasa Niche di Lombong Emas Sokor yang meliputi kawasan seluas 1,830 hektar," katanya dalam satu kenyataan.
Ketika ini, operasi perlombongan tertumpu di kawasan Sokor North seluas 547 hektar yang telah memperoleh semua kelulusan pihak berkuasa.
Perjanjian itu merupakan perluasan strategik perlombongan Niche dengan memperoleh hak eksklusif pembangunan dan perlombongan di kawasan seluas 97.12 hektar di KK Hill.
Tapak tersebut mengandungi sumber emas sebanyak 169,300 auns mengikut Kod JORC, dengan gred bijih lebih tinggi iaitu 0.69 gram setiap tan, berbanding 17,100 auns pada gred 0.40 gram setiap tan di Sokor North.
Pengesahan bebas oleh RSC Consulting Ltd turut mengukuhkan keyakinan syarikat terhadap potensi komersial projek KK Hill.
Lokasinya berhampiran Sokor Gold Mine juga memberi kelebihan dari segi kecekapan operasi melalui penggunaan infrastruktur dan tenaga kerja sedia ada.
Niche menyifatkan langkah itu strategik dalam mengukuhkan kelestarian dan skala operasi perlombongan emasnya.- DagangNews.com








