Ni Hsin mulakan rundingan ambil alih syarikat ayam halal Hy-Fresh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ni Hsin mulakan rundingan ambil alih syarikat ayam halal Hy-Fresh

Gambar/FB HyFresh & Ni Hsin Group Bhd
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 30 Jun - Ni Hsin Group Bhd menandatangani perjanjian awal dengan pemilik utama kumpulan Hy-Fresh, Datuk Seri Pua Tian Siong, untuk memulakan rundingan bagi mengambil alih sepenuhnya syarikat-syarikat dalam kumpulan tersebut.

 

Hy-Fresh adalah satu daripada pengendali ayam halal bersepadu terbesar di Malaysia, dikenali melalui jenama Hy-Fresh.

 

Pengarah Urusan Anak Syarikat Ni Hsin, Khoo Chee Kong berkata, perniagaan Hy-Fresh merangkumi keseluruhan rantaian bekalan ayam, dari kilang makanan haiwan, ladang pembiak baka, ladang ayam pedaging dan penetasan.

 

Tambah beliau, ia turut melibatkan ladang ayam penelur, kilang pemprosesan, stor sejuk beku, hinggalah ke pengedaran di seluruh negara dan Singapura.

 

"Langkah ini membuka lembaran baharu dan perkembangan penting bagi Ni Hsin selepas mula menceburi sektor makanan dan minuman (F&B) baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Chee Kong berkata, melalui pengambilalihan berkenaan, Ni Hsin akan meluaskan perniagaan ke dalam industri makanan asas, terutamanya ayam dan telur yang menjadi makanan utama rakyat Malaysia. - DagangNews.com