KUALA LUMPUR 20 Feb - Ni Hsin Group Bhd menjalinkan kerjasama dengan Beijing Zhongke Huizhi Special Information Co Ltd (BZHSIT) dan Shenzhen United Aircraft Technology Co Ltd (SUAT) untuk memasang, mempromosikan, memasarkan dan mengedarkan pesawat tanpa juruterbang (UAV) atau dron United Aircraft di pasaran Malaysia dan ASEAN.
Di bawah Memorandum Persefahaman (MoU), anak syarikat milik sepenuhnya kumpulan, Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd (NHEVT), BZHSIT dan SUAT bersetuju membentuk satu pakatan strategik.
Ini termasuk melaksanakan perjanjian muktamad untuk melantik NHEVT bagi memasang dron profesional secara sepenuhnya, mempromosikan, memasarkan dan mengedarkan dron, perkhidmatan, serta latihan kepada pelanggan industri dron, termasuk kerajaan, institusi dan syarikat.
Pengarah Urusan NHEVT, Khoo Chee Kong berkata, kerjasama itu menandakan kemajuan bagi Ni Hsin dalam perniagaan kenderaan elektriknya, sambil meningkatkan objektif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat.
"Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan kumpulan United Aircraft untuk membawa teknologi teras dan dron profesional mereka ke pasaran Malaysia.
"Kami yakin produk ini akan memberi manfaat kepada industri pertanian, perhutanan, logistik serta minyak dan gas di pasaran ASEAN," katanya dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia.
Syarikat itu berkata, BZHSIT akan membekalkan UAV United Aircraft kepada NHEVT untuk dipasang dan diedarkan di pasaran ASEAN, manakala SUAT akan menyediakan latihan untuk aplikasi UAV.
BZHSIT terlibat dalam jualan dan perkhidmatan dron serta rumusan aplikasi berkaitan dan merupakan ejen sah bagi SUAT untuk UAV United Aircraft.
Sementara itu, SUAT adalah ahli kumpulan United Aircraft di China dan penyedia rumusan yang menawarkan aplikasi serta pengetahuan sistem, bersama pelbagai perkhidmatan dalam industri UAV atau dron. - DagangNews.com








