NexG salur zakat korporat lebih RM1 juta, kukuhkan komitmen tanggungjawab sosial korporat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NexG salur zakat korporat lebih RM1 juta, kukuhkan komitmen tanggungjawab sosial korporat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Mac - NexG Berhad mengukuhkan komitmennya terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyalurkan sumbangan zakat korporat berjumlah RM1,008,085.00 pada majlis Ramadan Madani MAIWP: Majlis Iftar Bersama Asnaf 2025.

 

Majlis anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur itu diserikan dengan kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar. 

 

Penyerahan rasmi Zakat Korporat berkenaan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif NexG CSA Sdn Bhd, Datuk Syahril Abdullah sekali gus mengukuhkan komitmen syarikat dalam mengimbangi pertumbuhan perniagaan dengan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.  

 

Syahril dalam ucapannya menekankan kepentingan serta keseimbangan antara kecemerlangan perniagaan dan impak sosial, serta peranan zakat korporat sebagai instrumen pemerkasaan masyarakat.  

 

Beliau berkata, di NexG CSA, misi mereka bukan sekadar memastikan kejayaan dalam mendapatkan dan menguruskan projek berkaitan kerajaan tetapi bertanggungjawab melaksanakan projek kerajaan dengan lancar, termasuk pengurusan perolehan, rumusan ICT dan kontrak berasaskan perkhidmatan yang boleh dipercayai. 

 

nexg

 

"Namun, kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui pertumbuhan kewangan, tetapi juga melalui impak yang kita berikan kepada masyarakat. Zakat korporat bukan sekadar sumbangan kewangan, tetapi satu kewajipan yang selari dengan nilai teras kami – integriti, tanggungjawab dan kemampanan. 

 

"Melalui kerjasama dengan MAIWP, kami mahu melangkaui operasi perniagaan dan memberi manfaat yang lebih besar kepada golongan memerlukan. 

 

"Seiring dengan pertumbuhan syarikat, NexG akan terus mengintegrasikan tanggungjawab sosial korporat dalam strateginya bagi memastikan kemajuan kami turut dinikmati oleh pemegang taruh dan masyarakat secara keseluruhan," katanya.

 

Sementara itu, pemegang saham utama NexG serta Ahli Lembaga MAIWP, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, ditubuhkan dengan visi yang jelas untuk menjadi pemangkin utama dalam pelaksanaan projek kerajaan, NexG bertindak sebagai rakan strategik dan eksklusif dalam mendapatkan serta menguruskan kontrak kerajaan. 

 

Beliau berkata, NexG beroperasi sebagai hab bersepadu dalam menguruskan proses perolehan, membangunkan penyelesaian ICT inovatif dan menyediakan kontrak berasaskan perkhidmatan yang berkualiti tinggi untuk pelbagai sektor kerajaan. 

 

"Dengan keutamaan kepada integriti, kecekapan dan inovasi, NexG komited dalam merapatkan jurang antara keperluan sektor awam dan rumusan industri terkini," katanya. 

 

Sumbangan itu adalah sebahagian daripada strategi CSR syarikat secara lebih luas. NexG juga merancang untuk memperluas inisiatif CSR, dengan meneroka lebih banyak peluang dalam menyokong matlamat sosioekonomi negara serta membantu komuniti yang kurang berkemampuan melalui program yang lebih tersusun dan memberi impak besar. - DagangNews.com