Nestlé Malaysia dalam perbincangan jual perniagaan ais krim kepada Froneri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nestlé Malaysia dalam perbincangan jual perniagaan ais krim kepada Froneri

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Feb – Nestlé S.A., syarikat induk bagi Nestlé (Malaysia) Berhad mengumumkan sedang berada dalam fasa perbincangan lanjutan untuk menjual baki perniagaan ais krim globalnya kepada Froneri, sebuah usaha sama antara Nestlé dan PAI Partners.

 

Froneri ditubuhkan 10 tahun lalu dan menguruskan semua perniagaan ais krim Nestlé di Eropah serta beberapa operasi terpilih di rantau lain.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata perniagaan ais krim Nestlé Malaysia tidak termasuk dalam skop asal Froneri, menjadikan perbincangan ini sebagai langkah baharu dalam pengurusan aset global syarikat itu.

 

“Nestlé Malaysia akan memulakan proses untuk menilai kemungkinan penjualan perniagaan ais krim tempatan kepada Froneri. 

 

“Proses ini dijangka melibatkan pemeriksaan menyeluruh, perbincangan dengan pihak berkepentingan tempatan, serta pematuhan ketat terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Penilaian itu akan dijalankan secara teliti bagi memastikan setiap langkah mematuhi keperluan tadbir urus dan pihak berkuasa yang relevan. Ini termasuk memastikan kepentingan pekerja, pelanggan, dan rakan niaga diambil kira.

 

Perniagaan ais krim Nestlé Malaysia kini menjadi antara aset yang menarik untuk pelabur memandangkan jenama tersebut telah lama bertapak di pasaran tempatan dan mempunyai penggemar setia.

 

Sementara itu, Froneri yang merupakan gabungan modal Nestlé dan PAI Partners, telah menunjukkan prestasi kukuh dalam menguruskan perniagaan ais krim di pasaran Eropah dan beberapa pasaran lain, memberi keyakinan bahawa pengambilalihan ini berpotensi mengukuhkan operasi global Nestlé.

 

Nestlé Malaysia menekankan bahawa sebarang keputusan akhir mengenai penjualan perniagaan ais krim akan dibuat hanya selepas proses penelitian terperinci selesai dan mendapat kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan.

 

Syarikat turut memaklumkan bahawa pengumuman lanjut akan dibuat sekiranya terdapat sebarang perkembangan material dalam proses penjualan ini. - DagangNews.com