Nestle diramal alami pemulihan pada suku pertama 2025 didorong peningkatan sentimen pengguna | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nestle diramal alami pemulihan pada suku pertama 2025 didorong peningkatan sentimen pengguna

KUALA LUMPUR 3 Mac - Nestle (Malaysia) Bhd dijangka mengalami pemulihan pada suku pertama tahun kewangan 2025 (Q1 2025) didorong sokongan daripada peningkatan sentimen pengguna. 

 

Menurut penganalisis, walaupun keuntungan bersih penuh syarikat bagi tahun kewangan 2024 (FY24) tidak memenuhi jangkaan, Nestle melaporkan peningkatan jualan tempatan yang ketara apabila mencatat kenaikan 1.8 peratus hasil berbanding suku sebelumnya pada Q4 2024.

 

CIMB Securities Sdn Bhd berkata, peningkatan jualan tempatan berlaku walaupun suku itu merupakan suku yang lebih perlahan dari segi jualan berbanding dengan Q3 2024.

 

Namun, margin keuntungan kasar pada Q4 2024 menurun sebanyak 4.6 peratus berbanding tahun sebelumnya (YoY) kepada 26.7 peratus, disebabkan oleh kenaikan kos komoditi dan campuran jualan yang kurang menguntungkan akibat peningkatan aktiviti pengguna yang menurunkan perbelanjaan.

 

"Nestle yakin akan kembali kepada pertumbuhan pada FY25F dengan usaha untuk terus memperkukuhkan kepimpinan pasaran di seluruh kategori dan memberi tumpuan berterusan kepada inovasi produk. 

 

"Syarikat berhasrat untuk melancarkan lebih banyak produk baharu, dengan fokus memperluaskan portfolio produk untuk memenuhi keperluan lebih ramai pengguna," kata firma penyelidikan itu susulan taklimat maya Nestle dengan penganalisis seperti laporan Business Times.

 

Menurut CIMB Securities, Nestle mencatatkan peningkatan dalam jualan, terutamanya pada Q1 2025, dipacu sentimen pengguna dan penurunan kesan aktiviti boikot berkaitan konflik Israel-Palestin.

 

"Pada Q1 2025, data dalaman Nestle menunjukkan peningkatan dalam jumlah jualan merentasi pelbagai kategori produk," jelasnya.

 

CIMB Securities turut mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham tersebut dengan harga sasaran (TP) yang lebih rendah iaitu RM92.

 

Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) berkata, keuntungan bersih teras FY24 Nestle sebanyak RM435 juta hanya menyumbang 84 peratus daripada anggaran pendapatan penuh tahun firma tersebut dan penganalisis.

 

"Keuntungan yang dijana oleh syarikat lebih rendah daripada yang dijangkakan, terutamanya kerana kos bahan mentah atau perbelanjaan yang lebih tinggi.

 

"Pendapatan FY24 sebanyak RM6.2 bilion bagaimanapun adalah selaras dengan anggaran penuh tahun firma, iaitu 100 peratus," ujarnya.

 

Firma penyelidikan itu mengurangkan anggaran keuntungan FY25 dan FY26 Nestle sebanyak 35 peratus dan 29 peratus masing-masing, selepas mengambil kira margin keuntungan kasar yang lebih rendah sebanyak 29 peratus dan 30 peratus.

 

"Dengan gencatan senjata perang Gaza, kami percaya jumlah jualan Nestle mungkin akan pulih secara beransur-ansur pada Q1 2025, tetapi mungkin tidak mencukupi untuk menampung kos pengeluaran yang lebih tinggi."

 

"Nestle mungkin akan menaikkan harga produk untuk menampung peningkatan kos, namun syarikat berdepan cabaran kerana pengguna mungkin sukar untuk membayar harga yang lebih tinggi dan mungkin sensitif terhadap sebarang kenaikan harga," tambahnya.

 

Maybank IB menurunkan saranan Nestle kepada 'pegang' dengan harga sasaran yang lebih rendah iaitu RM96.70.

 

Sementara itu, CGS International Securities Malaysia percaya, masa yang paling sukar telah berlalu untuk Nestle dan kini mereka menjangkakan peningkatan empat peratus dalam pendapatan domestik tahun-ke-tahun (YoY) pada tahun kewangan 2025 (FY25).

 

"Pengurusan Nestle menyatakan, terdapat tanda-tanda peningkatan sentimen pengguna dan ia semakin kuat menjelang suku pertama 2025.

 

"Pengurusan juga berkata, jualan ais krim adalah petunjuk awal bagi mereka, dan terdapat peralihan ke arah produk premium dalam beberapa bulan kebelakangan ini," katanya.

 

Menurut CGS International, tindakan Nestle menaikkan harga untuk produk kopi dan koko pada Q4 2024, diharapkan dapat membantu margin keuntungan kasar dalam beberapa suku akan datang.

 

Firma itu turut mengurangkan anggaran pendapatan untuk syarikat sebanyak 1.6 peratus setiap tahun untuk FY25 dan FY26 selepas mengambil kira prestasi FY24 syarikat.

 

CGS International mengekalkan saranan 'kurangkan' terhadap saham tersebut dengan harga sasaran tidak berubah iaitu RM78. - DagangNews.com